Saturday, 12 August 2017

Siapa Pengerusi MARA baru?

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

EMPAT nama sudah disenarai pendek oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebagai calon bagi mengisi kekosongan jawatan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, senarai calon itu bakal diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk diteliti sebelum dijangka diumumkan pada 1 September ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan identiti calon yang bakal menggantikan bekas Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa.

"Calon itu bakal meneruskan kesinambungan memartabatkan bangsa Melayu berikutan MARA adalah sebuah institusi Melayu yang agak besar di negara ini.

"Setakat ini, MARA berjaya melahirkan kira-kira 1.2 juta pelajar Melayu yang sudah berjaya dalam bidang masing-masing, dan itu satu petanda agak baik kepada negara.

"Justeru, calon yang bakal dipilih itu perlu bekerja lebih keras, berdedikasi dan memiliki semangat juang tinggi mempertahankan MARA," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh kali ke-23 di Pasir Puteh, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zukifle Ali.

Akhbar sebelum ini melaporkanAnnuar melahirkan hasrat tidak menyambung kontrak sebagai Pengerusi MARA selepas memegang jawatan itu lebih empat tahun.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dilantik sebagai Pengerusi MARA pada 19 Julai 2013 dan disambung pada 12 Ogos 2015.

Bagaimanapun, jawatan Annuar sebagai Pengerusi MARA digantung Januari lalu berikutan dakwaan isu penajaan bola sepak pasukan Kelantan.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...