Monday 7 August 2017

Pelombong emas kuasai kampung

Sebahagian penduduk berhimpun di Kampung Sokor, Tanah Merah semalam bagi membantah tindakan perlombongan emas.

TANAH MERAH – Emas berkualiti yang ditemui di Hutan Simpan Sokor di Kampung Sokor di sini beberapa tahun lalu kini menjadi ‘kegilaan’ sebuah syarikat perlombongan sehingga didakwa tergamak memusnahkan tanaman getah penduduk dan alam sekitar di beberapa buah kampung di sekitarnya.

Syarikat yang didakwa berlesen itu sedang giat meneroka hasil bumi di kawasan berkeluasan hampir 400 hektar di atas tiga buah bukit iaitu Bukit Saujana, Bukit Candang dan Bukit Kandang Kerbau.

Tindakan syarikat perlombongan yang bersungguh-sungguh mencari hasil bumi itu secara tidak langsung didakwa menjejaskan punca rezeki kira-kira 150 penduduk di sekitar Kampung Sokor.

Tinjauan Kosmo! ke lokasi perlombongan mendapati sebahagian pokok-pokok getah milik penduduk di Kampung Sokor dimusnahkan begitu sahaja untuk tujuan membina jalan memasuki ke kawasan perlombongan emas.

Lebih malang, apabila ada dalam kalangan penduduk mendakwa mereka hilang punca rezeki selepas kebun mereka didapati termasuk dalam kawasan yang digazetkan untuk perlombongan emas.

Wartawan yang menjejaki lokasi perlombongan terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan menempuh perjalanan kira-kira sejam sejauh kira-kira 15 kilometer dari Gual Ipoh untuk tiba ke Hutan Simpan Sokor.

Orang ramai juga boleh menyusuri jalan tanah merah bermula dari Kampung Perala untuk sampai ke Kampung Sokor.

Mengikut maklumat penduduk yang terjejas dengan aktiviti perlombongan emas itu, Hutan Simpan Sokor yang menjadi lokasi penemuan emas kini turut berubah wajah apabila saban hari digondolkan oleh syarikat perlombongan tersebut.

Sementara itu, seorang peneroka, Wan Razi Wan Said, 58, berkata, dia sudah meneroka tanah di situ sembilan tahun lalu dan kini tanaman getah yang diusahakan juga telah mengeluarkan hasil.

“Jadi syarikat perlombongan emas itu menemui penduduk untuk berbincang bagi membayar ganti rugi tanaman getah yang dimusnahkan untuk tujuan membina jalan.

“Kami tidak mempunyai pilihan kecuali terpaksa bersetuju kerana syarikat perlombongan itu bersungguh-sungguh dan tidak memberi pilihan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...