Wednesday, 9 August 2017

Pelajar bawa peranti mulai tahun depan

Mahdzir Khalid berbual dengan peserta Seminar Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Nasional Ke-24 di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands, Pahang, semalam.

BENTONG - Kementerian Pendidikan akan membenarkan murid dan pelajar sekolah di negara ini membawa alat peranti ke sekolah awal tahun depan selaras perkembangan teknologi dalam bidang berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak­nya ini sedang merangka peraturan serta pekeliling bagi menetapkan penggunaan serta jenis alat peranti yang dibenarkan dibawa ke sekolah.

“Waktu penggunaannya belum ditetapkan, pada masa ini hanya tablet dibenarkan dan pelajar dilarang membawa telefon bimbit kerana dilihat mampu mengganggu dan menjejaskan tumpuan pelajar dalam kelas.

“Berdasarkan pemerhatian, sesetengah negara membenarkan penggunaan alat ini dalam tempoh dua jam dan ada negara yang menggunakannya mengikut subjek,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pengurusan dan Kepe­mimpinan Pendidikan Nasional Ke-24 di Institut Aminuddin Baki di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ke­tua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof.

Mahdzir membe­ritahu, pihak­nya melihat penggunaan peranti di sekolah sejajar gelombang teknologi dunia kerana keba­nyakan negara maju sudah membenarkan pelajar mereka membawa alatan tersebut ke sekolah.

Jelasnya, kementerian sedia melakukan transformasi bidang pendidikan justeru akan berusaha memperluaskan capai­an jalur le­bar di setiap sekolah.

“Capaian internet meluas kerana daripada 10,000 buah sekolah di negara ini, lebih 6,000 daripadanya mempunyai capaian internet,” ujarnya.

Mengenai pembelajaran digital, beliau menyatakan, pihaknya belum mewajibkan penggunaannya dalam sesi pembelajaran berikutan terdapat sekolah yang masih kurang berkemampuan untuk melakukannya.

Pada 18 April lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan cadangan membenarkan pelajar di negara ini membawa alat per­anti ke sekolah sebagai usaha membantu proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam kelas mengikut masa dan subjek yang akan ditetapkan.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...