Saturday 5 August 2017

Konfrontasi China-India makin buruk

SOROTAN rakaman stesen televisyen CCTV semalam menunjukkan askar-askar China mengadakan latihan artileri di Wilayah Autonomi Tibet berhampiran sempadan India.

BEIJING – Kementerian Luar China berkata bahawa India menambah bilangan askarnya dan membaiki jalan-jalan di sempadan miliknya ketika ketega­ngan di sebuah kawasan pedalaman dekat negara Bhutan makin meruncing.

Konfrontasi antara New Delhi dan Beijing itu melibatkan tuntutan bertindih di sebuah dataran tinggi di sebelah negeri Sikkim, timur laut India.

Lokasi itu bersempadan dengan China.

“Sudah sebulan sejak insiden ini (pencerobohan) berlaku, namun India bukan sahaja masih berada dalam wilayah China, malah ia turut membaiki jalan-jalan di kawasannya, meningkatkan bekalan dan menambah bilangan askar.

“Semua tindakan ini jelas bukan untuk keamanan,” kata Kementerian Luar China dalam satu kenyataan.

India sebaliknya menafikan meningkatkan kekuatan perangnya di lokasi itu. Dalam kenya­taan kepada Parlimen India petang kelmarin, Menteri Luar, Sushma Swaraj meminta supaya dialog diadakan bagi menyelesaikan isu itu berdasarkan persetujuan bersama yang dimeterai pada 2012.

Namun, awal Jun lalu, Beijing mendakwa askar-askar India menyeberang ke rantau itu yang dinama­kan Donglang oleh China dan menghalang kerja pembinaan sebuah jalan raya.

Konfrontasi antara kedua-dua belah pihak kemudian tercetus dekat sebuah lembah dikawal oleh China yang memisahkan India dari sekutu rapatnya, Bhutan.

Lembah itu memberikan China akses kepada kawasan genting dikenali sebagai Leher Ayam. Genting itu menghubungkan India dengan kawasan pedalaman di timur laut negara itu.

India sebelum ini memberi amaran pembinaan jalan di sempadan bersama itu akan mendatangkan akibat buruk.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pertahanan China memberi ­amaran bahawa kesabaran Beijing ada batasnya.

“Tiada negara boleh memandang rendah keyakinan tentera China dalam menyempurnakan misinya bagi melindungi keamanan. Tiada negara boleh memandang rendah keazaman tentera China dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan pembangunan negara,” kata kementerian itu.

Di sebalik usaha diplomatik China, kementerian sama berkata, India bukan sahaja tidak mengundurkan tenteranya tetapi membuat tuntutan tidak wajar dan tidak jujur berkaitan pertikaian tersebut.

Pegawai-pegawai India pula berkata, kira-kira 300 askar daripada kedua-dua belah pihak berdepan antara satu sama lain pada jarak cuma 150 meter di dataran tinggi itu.

Media negara China memberi amaran bahawa India akan mengalami nasib lebih buruk berban­ding kekalahan New Delhi dalam perang singkat merebut sempadan pada tahun 1962.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera China mengadakan latihan bedilan meriam menggunakan peluru hidup di kawasan pertikaian itu. – Reuters

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...