Wednesday 16 August 2017

Awang Adek dilantik Pengerusi Mara

Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu, berkuat kuasa 1 September ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Awang Adek, 62, pernah dilantik sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) pada 2014 untuk tempoh dua tahun, selain menjawat jawatan Tim­balan Menteri Ke­majuan Luar Ban­dar dan Wilayah.

“Pelantikan ini dibuat selepas mendapat persetujuan dari­pada Perdana Men­teri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Beliau yang merupakan bekas Senator Dewan Negara memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Matematik dan Ekonomi dari Universiti Drew, AS sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi di Sekolah Wharton, Universiti Pennsylvania, AS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jawatan Pengerusi Mara sebelum ini kosong selepas Tan Sri Annuar Musa yang juga Ke­tua Penerangan UMNO digantung jawatan sejak Januari lalu berikutan dakwaan isu penajaan bola sepak Kelantan.

Secara rasmi, kontrak Annuar sebagai Pengerusi Mara tamat Jumaat lalu dan surat pertimbangan agar pelantikan semula tidak disambung telah dihantar oleh beliau kepada Perdana Menteri pada 2 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya percaya pengalaman yang dimiliki oleh Ketua UMNO Bahagian Bachok, Kelantan itu akan dapat membantu memimpin Mara da­lam melaksanakan dasar dan perancangan oleh kementerian tersebut demi mencapai objektif Transformasi Negara 2050 (TN50).

Sementara itu, menurut Awang Adek, jasa Mara terlalu besar kerana­ agensi itulah yang membolehkan beliau­ melanjutkan pelajaran ke AS.

“Saya benar-benar terhutang budi kepada Mara kerana memilih saya sebagai antara kumpulan anak Melayu terawal yang dihantar melanjutkan pelajar ke AS.

“Apabila diberi ke­percayaan menja­di Pengerusi, saya akan gunakan ruang ini menjaga Mara yang merupakan amanah orang Melayu dan bumiputera ini sebaik-baiknya. Ini peluang untuk saya balas jasa Mara,” katanya.

Awang Adek mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kerana yakin dengan kemampuannya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...