Sunday, 13 August 2017

Cadangan bina Terusan Kra muncul semula



BANGKOK – Sekumpulan pesara tentera dan ahli perniagaan tempatan mahu merea­lisasikan cadangan projek pembinaan Terusan Segenting Kra atau Terusan Kra sepanjang 135 kilo­meter (km) bernilai AS$28 bilion (RM120 bilion).

Menurut laporan Nikkei Asian Review, beberapa individu berpengaruh di negara ini termasuk ahli politik, pesara tentera berpangkat tinggi, pakar akademik dan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan China sedang memujuk Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Cha­­­­no­­cha untuk meneruskan projek berkenaan.

Prayuth sebelum ini me­negaskan pembinaan terusan itu tidak terdapat dalam agenda pemerintahannya.

Kumpulan tersebut percaya pembinaan terusan itu akan dibiayai melalui inisiatif Belt and Road yang dirintis China dan projek infrastruktur Laluan Sutera Ma­ritim Abad ke-21.

Kumpulan pesara tentera itu juga telah menubuhkan sebuah persa­tuan dikenali 'Persatuan Terusan Thai untuk Kajian dan Pembangunan' yang bekerjasama dengan penyelidik dari Universiti Peking dan sebuah syarikat China untuk mengkaji laluan yang dicadangkan.

Menurut pakar, jika Prayuth bersetuju meneruskan kajian laluan itu, pembinaan terusan berukuran 450 meter lebar dengan kedalaman 26 meter itu mampu dilalui oleh kapal kontena minyak terbesar dunia dan kapal kontena lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

Projek tersebut akan membe­lah bahagian selatan Thailand ia­itu kira-kira 800 di selatan Bangkok dan kira-kira 200km di sempadan Thailand dengan Malaysia.

Ia akan menghubungkan Teluk Thailand dengan Laut Andaman pada anggaran latitud sama dengan pulau Phuket.

Terusan itu merupakan lalu­an pintas dari Selat Melaka yang meng­hubungkan China, Japan dan negara-negara Asia Timur lain se­lain perdagangan minyak negara Asia Barat serta negara pasaran utama Eropah, Afrika dan India.

Jarak perjalanan bagi kapal yang melalui Laut Pasifik dan Laut Hindi mampu dipendekkan sekurang-kurangnya 1,200 km atau tiga hari pelayaran jika melalui terusan berkenaan. – Agensi

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...