Tuesday, 1 August 2017

Ramai rakyat Yemen terkandas di Malaysia

KAD hijau AS bagi melayakkan seseorang warga asing menjadi Pemastautin Tetap di negara tersebut telah menarik kira-kira 14 juta permohonan pada setiap tahun.

WASHINGTON – Yemen menggesa kerajaan Amerika Syarikat (AS) supaya menerima berpuluh-puluh rakyatnya yang melakukan perjalanan ke Malaysia sejak beberapa bulan lalu dengan harapan untuk berhijrah ke AS, namun terkandas akibat larangan perjalanan sementara yang dilaksanakan oleh Presiden Donald Trump.

Duta Yemen ke AS, Ahmed Mubarak berkata, pegawai-pegawainya di Washington mengadakan rundingan dengan Jabatan Negara pada bulan ini bagi mencari jalan penyelesaian supaya berpuluh-puluh pemenang loteri kad hijau dari Yemen boleh memasuki AS di sebalik sekatan perjalanan Trump.

“Mereka berada di Malaysia lebih enam bulan dan telah menjual segala-galanya di Yemen. Kami melakukan apa yang termampu,” kata Ahmed.

Situasi tersebut sangat sukar untuk rakyat Yemen. Oleh kerana AS tidak mempunyai kedutaan di Yemen, rakyatnya terpaksa pergi ke negara ketiga untuk memohon visa dengan kebanyakan mereka memilih melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur, Malaysia.

Perjalanan ke Malaysia sejauh 6,400 kilometer itu menelan belanja tinggi dan sukar untuk rakyat Yemen, apatah lagi ketika negara termiskin di rantau Teluk itu dibelenggu perang saudara.

Sebahagian besar warga Yemen yang datang ke Malaysia akan menginap sementara di bangunan-bangunan apartmen di pinggir Kuala Lumpur di mana mereka membina sebuah komuniti kecil.

Berikutan sekatan imigresen, kumpulan itu tidak dibenarkan untuk bekerja dan lama-kelamaan, mereka kehabisan wang. Kebanyakan rakyat Yemen di Malaysia bergantung kepada dana yang disumbangkan oleh rakyat Yemen lain atau dihantar oleh saudara mara mereka.

Larangan perjalanan selama 90 hari itu akan tamat pada 27 September depan, hanya tiga hari sebelum kelayakan untuk mendapatkan kad hijau berakhir.

Loteri kad hijau AS menarik kira-kira 14 juta permohonan pada setiap tahun, kebanyakannya melihat ia sebagai peluang untuk menetap di negara kaya tersebut. – Reuters

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...