Friday, 4 August 2017

AS berdepan risiko muflis

WAJAH Trump terpapar pada skrin televisyen di pejabat Bursa Saham New York di Bandar Raya New York kelmarin.

WASHINGTON – Kongres Amerika Syarikat (AS) mesti meningkatkan had hutang persekutuan bagi menghalang kerajaan daripada gagal menunaikan tanggungjawab kewangannya buat kali pertama dalam sejarah.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin sudah berulang kali memberi amaran kepada Kongres bahawa kerajaan akan kehabisan wang pada 29 September depan jika had pinjaman tidak ditingkatkan.

Perbendaharaan AS katanya, perlu terus meminjam untuk membayar perbelanjaan kerajaan termasuk membayar pencen pesara, gaji kakitangan awam dan elaun penerima bantuan kebajikan.

Tanpa kenaikan had siling pinjaman itu, Washington juga tidak akan dapat membayar hutang-hutangnya, kea­daan yang dibimbangi akan mencetuskan kegawatan dalam pasaran kewangan.

AS mencapai had siling hutang berjumlah AS$19.8 trilion (RM84.8 trilion) pada Mac lalu dan sejak itu, Perbendaharaan telah menggunakan ‘langkah-langkah luar biasa’ seperti melengahkan sejumlah pelaburan supaya kerajaan tidak melangkaui had tersebut.

Kerajaan AS tidak mempunyai pilihan kecuali meminjam untuk membayar faedah hutang sedia ada di sam­ping membiayai gaji penjawat awam dan pencen. Ini berikutan Washington sudah lama mengalami defisit belanjawan.

Walaupun White House dan Kong­res kini dikuasai wakil rakyat Parti Republikan, usaha mendapatkan lampu hijau bagi menaikkan had siling hutang bukanlah perkara yang mudah.

Ini kerana sebilangan wakil rakyat Republikan sendiri menentang bajet defisit dan mahukan pemotongan perbelanjaan dilakukan sekiranya had pinjaman meningkat.

Bagaimanapun, Mnuchin seperti juga Setiausaha Perbendaharaan sebelumnya, mahu siling hutang dinaik­kan tanpa sebarang prasyarat bagi melicinkan perbelanjaan negara.

Setiausaha akhbar White House, Sarah Huckabee Sanders berkata pada Selasa lalu bahawa pentadbiran Trump mahukan had siling hutang negara dinaikkan secepat mungkin.

“Sejak dua dekad lalu, ahli Kongres dan Presiden daripada kedua-dua Parti Republikan dan Demokrat telah meningkatkan siling hutang sebanyak 15 kali dan kami meminta Kongres memastikan agar pembayaran hutang AS berjalan dengan lancar,” katanya. – AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...