Saturday 7 May 2016

Sultan Johor: Kuasa Agong, Raja tidak wajar dihadkan

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar 
JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja tidak wajar dihad atau dihapuskan, dalam memperkenan Rang Undang-undang.

Sultan Ibrahim bertitah, Raja memainkan peranan penting dalam hal ehwal Dewan Negeri yang menjadikan hubungan antara Institusi Diraja, Badan Perundangan dan Badan Eksekutif saling melengkapi bagi membentuk pentadbiran yang cekap.

“Adalah tidak wajar sekiranya kuasa Agong atau Raja dalam meneliti dan memperkenankan sesuatu Rang Undang-Undang itu dihadkan atau dihapuskan.

“Ia akan menjadikan peranan Agong atau Raja hanya sebagai ‘rubber stamp’ untuk menurunkan cop mohor terhadap rang yang telah diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Negeri,” titahnya.

Baginda tuanku bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Bagi Tahun 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Sultan Ibrahim turut bertitah supaya, pindaan Perkara 40(1A) dan Perkara 66(4A) dalam Akta 885 Perlembagaan Persekutuan pada Jun 1994 mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong diperbetulkan semula.

“Jika dulu orang Melayu bersatu menentang Malayan Union apabila kuasa Raja dikecilkan tetapi kini parti politik Melayu jugalah yang menghadkan kuasa Agong. Lebih teruk lagi memaksa Agong bertindak mengikut apa jua nasihat jemaah Menteri.

“Inilah pindaan dibuat Parlimen Malaysia sebagaimana Akta 885 Perlembagaan Persekutuan yang berkuatkuasa 26 Jun 1994 merampas kuasa Agong demi kepentingan politik atau individu. Saya berharap perkara ini diperbetulkan semula,” titahnya. -SH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...