Monday 16 May 2016

Berjaya cipta mesin kupas bawang

Halimah (kanan) berjaya menghasilkan mesin pengupas bawang bersama dua rakannya
KUANTAN - Tiga penyelidik Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) berjaya menghasilkan mesin pengupas bawang bagi memudahkan pihak industri terlibat.

Ketua Penyelidik, Halimah Ab Rahim berkata, pihaknya berjaya memperoleh geran Jaringan Penyelidikan Swasta -Awam (PPRN)  Julai tahun lalu untuk membangunkan projek inovasi itu.

Menurutnya, projek di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu dibangunkan bersama dua lagi penyelidik iaitu Mohd Hariz Ibrahim dan Muhammad Hissamuddin Shah Zainal Abidin.

“Kami mendapati masalah yang dihadapi oleh Industri Kecil dan Sederhana (IKS) adalah untuk mengupas bawang secara manual yang memakan masa selain kualiti bawang yang dikupas tidak  konsisten.

“Daripada penyelidikan dan pembangunan dibangunkan, kami membuat satu reka bentuk mesin yang terdiri daripada tiga bahagian iaitu mesin penggredan saiz bawang, mesin pemotong akar bawang dan mesin pengupas kulit bawang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, kelmarin.

Halimah berkata, mesin itu akan diserahkan  kepada industri, Syarikat NQ Group Enterprise dari Melaka.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa enam bulan untuk membangunkan projek inovasi berkenaan dan ia siap dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, mereka menghadapi pelbagai cabaran dalam merealisasikan hasrat kerajaan dalam penyelidikan supaya boleh diguna pakai oleh industri.

“Kami berharap, mesin pengupas bawang dihasilkan dapat memudahkan kerja industri,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Syarikat NQ Group Enterprise, Mohd Faris Abdul Salim berkata, pihaknya gembira dan berpuas hati dengan projek inovasi kumpulan penyelidik terbabit.

Katanya, mesin itu mempercepatkan proses mengupas bawang dan lebih sistematik. -SH

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...