Wednesday 25 May 2016

Gaji 'penggodam topi putih' lindungi sistem kerajaan


KUALA LUMPUR 25 Mei - Kerajaan boleh menggaji penggodam beretika atau dikenali sebagai `penggodam topi putih’ untuk mencegah sistem komputer yang digunakan terutama oleh agensi strategik disabotaj atau digodam penjenayah siber.

Penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, itu antara langkah proaktif yang perlu dilakukan kerajaan bagi menangani masalah itu selain melantik pegawai yang lebih berintegriti untuk mengendalikan sistem-sistem berkenaan.

“Kerajaan perlu mengambil langkah yang proaktif dan berkesan bagi mencegah masalah ini yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada keselamatan negara.

“Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi menyelesaikan masalah ini termasuk melantik penggodam beretika kerana mereka mempunyai kepakaran dalam menangani isu ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam percaya wujud perbuatan sabotaj di peringkat dalaman melibatkan pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) menyebabkan sistem itu tergendala hampir setiap hari.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenal pasti kelemahan sistem itu menjadi antara punca Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dibolosi sindiket pemalsuan pasport dan pemerdagangan manusia.

Seorang lagi penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, pemeriksaan lebih terperinci perlu dilakukan bagi mengenal pasti sebarang masalah atau kelemahan yang dihadapi sistem di bawah kelolaan kerajaan.

“Agensi kerajaan perlu lebih berwaspada terhadap ancaman siber. Jika wujud sebarang kepincangan terhadap sistem kerajaan, penggodam akan mempunyai ruang dan peluang untuk menggodam sistem kita.

“Proses audit yang lebih teliti perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca kepada permasalahan ini dan sekali gus mencari formula berkesan bagi mencegah sebelum menjadi lebih serius,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...