Saturday 21 May 2016

Sungai Pahang di ambang kemusnahan - Pakar

Penerokaan hutan tanpa kawalan di Ulu Tembeling.
JERANTUT: Nama Sungai Pahang sebagai sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia tidak mustahil akan terpadam dalam lipatan sejarah negara sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil langkah yang tegas untuk menangani masalah penerokaan hutan tanpa kawalan di Ulu Tembeling. 

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Maketab Mohamed, berkata ini kerana Sungai Pahang serta anak sungai utamanya iaitu Sungai Tembeling hampir berada di ambang 'garisan kemusnahan' dan hampir kontang ekoran sikap rakus manusia meneroka khazanah alam itu sehingga lupa kepada implikasinya. 

"Ramai yang mengaitkan punca sungai ini cetek disebabkan El Nino, pemanasan global. Benda tu pada skala dunia, memang boleh jadi ada impak, tetapi persoalannya berapa peratus. "Isunya kini ia lebih daripada itu, lebih kepada faktor tempatan iaitu pengurusan kawasan tadahan air tempatan. 

Impaknya kini dirasai oleh penduduk dan ini terbukti apabila Sungai Kancing yang sebelum ini dapat membekalkan air kepada masyarakat sehingga ke Kampung Bantal sudah tidak dapat lagi berbuat demikian. 

"Sehubungan itu, sudah sampai masanya untuk kerajaan negeri dan pusat bekerjasama cari jalan penyelesaian bagaimana nak perbetulkan masalah ini," katanya selepas menyertai Misi Selamatkan Kawasan Tadahan Air Negara di Ulu Tembeling baru-baru ini. 

Misi berkenaan disertai oleh 150 anggota yang terdiri daripada pakar alam sekitar dan ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Persatuan Pelindung Alam Malaysia, Sahabat Alam Malaysia, dan Jaringan Orang Asli Pahang. -Bernama

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Maketab Mohamed berkata Sungai Tembeling hampir berada di ambang 'garisan kemusnahan' dan hampir kontang ekoran sikap rakus manusia meneroka khazanah alam.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...