KUALA NERUS 31 Mei - Terlalu mementingkan gaya hidup mewah dan takut dilabel sebagai miskin menjadi faktor utama kebanyakan graduan berumur bawah 30 tahun terperangkap dengan hutang dan seterusnya mengundang kepada muflis.
Azaddin Ngah Tasir |
Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azaddin Ngah Tasir berkata, kebanyakan graduan membuat pinjaman bank dan menggunakan kad kredit semata-mata untuk hidup mewah meskipun sebenarnya ia di luar kemampuan mereka.
"Graduan ini biasanya berumur di bawah 30 tahun yang mana mereka baru menamatkan pengajian dan baru saja memasuki alam pekerjaan dan biasanya mereka masih belum mempunyai simpanan yang banyak tetapi mereka sangat cenderung untuk terikut-ikut dengan gaya hidup mewah.
"Kebanyakkan mereka membuat pinjaman bank dan menggunakan kad kredit untuk membeli gajet terbaharu dan pakaian mengikut trend selain untuk tujuan membeli kereta dan membayar pinjaman perumahan," kata Azaddin kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara AKPK dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Dekan Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan UniSZA, Prof. Dr. Izah Mohd Tahir dan Dekan Fakulti Sains Sosial Gunaan UniSZA, Prof. Dr. Ahmad Puad Mat Som.
Mengulas mengenai MoU itu, Azaddin berkata, AKPK akan bekerjasama dengan UniSZA dari segi khidmat nasihat, kerjasama dalam latihan industri yang membolehkan pelajar dan kakitangan UniSZA ditempatkan di AKPK dan pegawai AKPK juga berpeluang melanjutkan pengajian di universiti tersebut.
"Kita berterima kasih kepada UniSZA yang sudi menjalinkan kerjasama dengan pihak kami dan kerjasama ini diharapkan dapat memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...