Wednesday 18 May 2016

Malaysia mahu cipta kereta api sendiri 10 tahun lagi

Abdul Aziz Kaprawi
BATU GAJAH - Kerajaan berhasrat untuk mencipta dan membangunkan kereta api sendiri dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Beliau berkata kerajaan enggan secara berterusan bergantung kepada sumber luar dalam membangunkan industri kereta api negara.

Katanya matlamat Malaysia itu tidak mustahil untuk dicapai kerana negara telah berjaya membangunkan sistem rel dengan pesatnya seperti Projek Transit Aliran­ Massa (MRT) dan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT).

"Kalau dalam bidang automobil, kita boleh cipta kereta nasional, kenapa pula kita tidak boleh membangunkan kereta api nasional," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Akademi Keretapi Malaysia di sini hari ini.

Pada majlis itu seramai 133 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) diraikan selepas menamatkan latihan dalam bidang pengkeretapian.    

Menurut Ab Aziz beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama agensi berkaitan seperti KTMB dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk merealisasikan hasrat negara membangunkan kereta api sendiri.

"Langkah ini merupakan titik tolak kepada usaha merakyatkan dan membangunkan industri kereta api di negara ini.  Kita mahu membangunkan keupayaan kita sendiri dan kita mahu rakyat negara Malaysia memanfaatkan industri rel ini," katanya.

Selain itu, Ab Aziz berkata kerajaan bercadang membina sebuah landasan kereta api bawah laut bagi menghubungkan Malaysia dan Indonesia.

Katanya kereta api bawah laut itu sama seperti Channel Tunnel yang menghubungkan United Kingdom dengan Perancis, namun ia masih dalam peringkat perbincangan.

Mengenai insiden dua tren KTMB yang terbabit dalam kemalangan selepas bergesel di Kilometer 322, Kuala Kubu Baharu pada 7 Mei lepas, Ab Aziz berkata siasatan masih belum selesai. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...