GAMBAR yang menjadi viral di Facebook. |
Jitra: Polis menafikan berlaku adegan berbalas tembakan ketika peronda lebuh raya mengejar kereta di Kilometer 9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Changlun, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, siasatan pihaknya mendapati tiada sebarang kesan tembakan pada kereta yang ditahan atau kerosakan pada peronda lebuh raya seperti yang menjadi viral di Facebook.
Katanya, hasil siasatan awal turut mendapati tiada sebarang tembakan dilepaskan oleh dua anggota peronda lebuh raya terbabit.
"Dalam kejadian 4.30 petang tadi, kedua-dua anggota polis yang bertugas meronda lebuh raya dikatakan terserempak dengan kereta dalam keadaan mencurigakan dipercayai dipandu seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat Pekan Changlun.
"Berikutan itu, anggota terbabit kemudian mengekori suspek dan cuba menahannya bagi melakukan pemeriksaan, namun suspek memecut kenderaan ke arah kawasan perumahan di Changlun," katanya menerusi satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Abd Rahim berkata, suspek kemudian meninggalkan keretanya di jalan berhampiran kawasan kebun getah dalam keadaan berkunci, manakala pemeriksaan awal ke atas kenderaan itu mendapati cermin bahagian pemandu pecah.
"Anggota terbabit kemudian memasukkan tangan untuk membuka pintu kenderaan dan pemeriksaan awal di dalam kereta tidak menemui apa-apa barang terlarang.
"Kereta itu kemudian ditunda ke Balai Polis Jitra untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan mendapati kenderaan yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat di Perak itu tidak mempunyai rekod hilang," katanya.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kereta itu mendapati terdapat dua kesan pecah di cermin bahagian pemandu dipercayai kesan dipukul atau dibaling menggunakan batu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya. -myMetro
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...