Monday, 28 November 2016

Skim cepat 'miskin'

Datuk Seri S Vell Paari berucap di sidang media mangsa penipuan skim yayasan  pelaburan.
Kuala Lumpur: Menjual nama pemimpin bagi menarik orang ramai menyertai skim yayasan pelaburan milik pasangan suami isteri menyebabkan 300 mangsa kerugian RM2.2 juta.

Mangsa kebanyakan terdiri daripada pelajar, suri rumah dan golongan miskin dijanjikan keuntungan berganda dalam tempoh sebulan selepas melaburkan sejumlah wang ke dalam skim cepat kaya milik pasangan berkenaan.

Pelajar sebuah kolej swasta Benedict Chriss, 23, berkata, dia menggunakan sebahagian wang pinjaman pengajian RM4,000 untuk dilaburkan ke dalam yayasan itu.

“Saya menyerahkan wang itu kerana memikirkan ia akan menyelesaikan masalah kewangan saya untuk semester berikutnya lagipun saya daripada keluarga sederhana. Emak saya ibu tunggal.

“Keyakinan bakal diperoleh adalah sekali ganda dari duit pelaburan dalam tempoh singkat serta menyatakan pelaburan itu selamat kerana di bawah skim milik pemimpin menambah lagi keyakinan saya.

“Bukan saya saja, ibu juga mengeluarkan simpanan RM12,000 selepas melihat saya memperoleh wang pulangan RM6,000 selepas sebulan melabur, tetapi duit ibu habis macam itu saja sehingga sekarang tidak menerima imbuhan,” katanya.

Dia ditemui pada sidang media mangsa penipuan pasangan suami isteri itu, di sini, semalam yang dihadiri 200 mangsa penipuan pelaburan.

Hadir sama, Bendahari Agung MIC Datuk Seri S Vell Paari.

Menurut Benedict, berikutan yakin dengan skim itu dan menerima pulangan, dia turut mengajak 12 lagi rakan untuk turut melabur.

“Malangnya, rakan saya sehingga sekarang tidak menerima sebarang bayaran balik atau imbuhan,” katanya.

Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB), S Suyamgasam, 61, berkata dia diperkenalkan dengan skim itu pada Mac lalu di sebuah majlis di Melaka.

“Tiada apa mencurigakan ketika saya mendengar mengenai skim itu, segala diberitahu meyakinkan saya untuk terus melabur.

“Akhirnya saya mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan caruman Kumpulan Wang Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM285,000.

“Dalam tempoh tiga bulan, saya menerima RM100,000 tetapi selepas Jun lalu sehingga sekarang duit saya belum dibayar.

“Apabila saya hubungi pihak penganjur skim itu, mereka mendakwa akan bayar selepas Deepavali, tetapi sekarang terus senyap,” katanya.

Suyamgasam berkata, selain tertarik dengan imbuhan bakal diterima dia melabur wang itu dengan tujuan dapat dimanfaatkan pada masa akan datang memandangkan sekarang dia tidak lagi bekerja.

Sementara itu, Vell Paari berkata, satu laporan polis dibuat dan beliau juga melantik peguam bagi mendapatkan balik hak mangsa berkenaan.

Beliau turut mendakwa kegiatan itu aktif sejak 2000 dan menganggarkan hampir belasan ribu mangsa terdiri dari kaum India tertipu.

“Pasangan suami isteri itu menipu mangsa kebanyakan orang miskin dengan mendakwa skim berkenaan milik pemimpin negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...