ANGGOTA Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menahan suspek ketika serbuan sindiket penjualan bayi di sebuah klinik di Taman Puchong Indah. |
KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai dalang utama kes penjualan bayi dan seorang doktor lelaki, ditahan dalam serbuan ke atas tujuh premis, termasuk tiga klinik sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, hari ini.
Wanita terbabit yang dikenali sebagai 'Bonda' ditahan bersama anak lelakinya oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di Tanjung Sepat, Sepang, selepas disyaki menjadi orang tengah terhadap mana-mana pasangan suami isteri yang ingin mendapatkan bayi terutama anak luar nikah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata dalam serbuan Operasi Baby (Op Baby) oleh Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM D7C) itu, polis turut menahan seorang doktor lelaki berusia 54 tahun di sebuah klinik di Taman Puchong Indah, Puchong, petang tadi.
"Lima lokasi lain yang diserbu adalah dua klinik di Klang, serta tiga unit kediaman di Sepang dan Klang di Selangor serta Labu, Negeri Sembilan," katanya, sebentar tadi. Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat lain, termasuk bayi yang dijual susulan penangkapan tiga individu terbabit.
Pada 25 November lalu, media antarabangsa Al Jazeera, dalam satu laporan video berdurasi 25 minit, memaparkan satu aktiviti penjualan bayi yang berlaku di negara ini didalangi seorang wanita dikenali sebagai `Bonda'.
Dua hari kemudian, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, memberitahu, aktiviti penjualan dan pemerdagangan bayi yang berlaku di sini, bukanlah seperti yang digembar-gemburkan oleh Al Jazeera, namun berada dalam keadaan terkawal.
Katanya, pihak polis menerusi ATIPSOM dan Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ, sentiasa melakukan pemantauan ke atas sebarang aktiviti penjualan bayi di seluruh negara.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...