Wednesday 9 November 2016

UUM raih emas Green World Award 2016


KUALA LUMPUR – Universiti Utara Malaysia (UUM) mengharumkan nama negara di Bucheon, Korea Selatan apabila berjaya merangkul pingat Global Gold di Green World Award 2016 bagi kategori pendidikan dan latihan baru-baru ini.

Sebagai pemenang pingat emas, UUM bukan sahaja menerima trofi Green Apple, sijil dan logo pemenang Green World Awards, malah turut dipilih sebagai Duta Green World 2016/2017.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, pencapaian itu sangat membanggakan UUM kerana menerima anugerah bertaraf dunia yang mengiktiraf usaha universiti dalam membangunkan infrastruktur mesra alam sekitar.

“Kita berjaya mengetepikan sebanyak 500 pesaing lain dari seluruh dunia dalam Green World Awards for Environmental Best Practice iaitu anugerah yang diberi bagi mengiktiraf negara, syarikat dan masyarakat yang paling hijau di dunia.

“Dengan kejayaan yang diraih ini, saya mahu semua warga kampus memanfaatkan alam semula jadi yang dimiliki dan membantu menaikkan nama UUM sebagai universiti dalam rimba hijau bukan sahaja dalam negara, malah di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...