Sunday, 27 November 2016

Pengawal peribadi sebagai satu karier


DARI jauh, kelihatan sebuah kereta Proton Perdana menyusur masuk ke parkir sebuah pusat komersial di suatu kawasan terpencil. Pemilik kereta itu merupakan seorang ahli perniagaan terkenal yang ingin menyelesaikan beberapa urusan penting berkaitan di tempat itu.

Ditemani lima lelaki berbadan tegap, berjaket kulit dan berkaca mata hitam, dia keluar dari kereta menuju ke sebuah pejabat. Tanpa disedari lelaki itu dan pengawalnya, ada sepasang mata yang berdendam dengan lelaki itu sedang menunggu untuk menyerangnya.

Bersenjatakan sebilah parang, lelaki tadi menunggu ahli perniagaan tersebut dan kumpulan pengawal peribadinya melalui tempat yang dirancang sebelum membuka langkah untuk menyerang mereka.

Namun, serangan mengejut itu berjaya dipatahkan oleh dua orang pengawal peribadinya yang tangkas menangkis serangan itu sementara dua orang lagi dengan pantas menarik ahli perniagaan itu dan berlari memasuki keretanya. Pengawal lain pula berundur secara taktikal ke dalam kereta sebelum beredar dari tempat itu.

Jika tidak kerana tindakan pantas dan kecekapan pengawal periba­dinya, ahli perniagaan itu sudah pasti mengalami nasib malang akibat dise­rang sekumpulan penjahat tadi.

Simulasi itu antara latihan yang perlu dilalui bagi mempraktikkan kaedah dan teknik yang diajar sebelum menjadi pengawal peribadi atau bodyguard.

Tugas menjadi seorang bodyguard bukanlah semudah yang disang­ka. Mungkin ramai daripada kalangan masyarakat yang masih beranggapan bahawa menjadi penga­wal peribadi hanya memerlukan badan yang sasa dan karakter sebagai kaki pukul. Namun, stereotaip itu ternyata salah jika melihat sendiri kepada latihan yang harus dijalani.

Hakikatnya, seseorang yang berminat untuk menjadi pengawal peribadi memerlukan lebih daripada sekadar tubuh yang kuat dan imej yang ganas. Keikhlasan dan kejujuran dalam bekerja lebih penting memandangkan menjadi pengawal peribadi bermakna tanggungjawab melindungi nyawa, harta benda dan kepentingan orang yang dijaga terletak di bahu mereka.

Modul latihan


Menceritakan mengenai latihan yang perlu dilalui oleh pelatih pengawal peribadi, Pengarah Latihan Security Training Services, Afrol Faizal Chew Abdullah, 53, berkata, banyak kemahiran dan ilmu yang perlu diketahui dan dikuasai untuk menjadi pengawal peribadi, antaranya penggunaan senjata, seni membela diri, komunikasi dan konsep-konsep kawalan.

“Terdapat dua kaedah yang perlu dikuasai pengawal peribadi dalam mengendalikan tugas mereka iaitu pengunduran dan bertahan.

“Pengawal peribadi tidaklah menye­rang pihak yang mengancam sebaliknya hanya memberikan perlindungan kepada prinsipal mereka,” katanya ketika ditemui oleh kru Jurnal di pejabatnya di Cheras, Selangor baru-baru ini.


Afrol berkata, terdapat empat modul yang diajarkan kepada pelatih pengawal peribadi dalam kursus selama tujuh hari itu yang dikendalikan olehnya.

“Kita bermula dengan modul pembinaan di mana fizikal, kemahiran mental, karakter dan imej mereka dibina sepanjang kursus itu. Kemudian mereka akan diberi pemahaman mengenai undang-undang, peraturan dan garis panduan antara pengawal peribadi dengan majikan serta mengenali bentuk-bentuk ancaman.

“Perkara ini penting kerana ia memisahkan pengawal profesional daripada pengawal yang bersikap seperti kumpulan kongsi gelap,” ujarnya dengan nada tegas.

Modul ketiga pula ialah pelaksanaan teknik dan taktik serta kawalan pergerakan. Kaedah itu digunakan bagi mengawasi majikan di dalam dan luar kenderaan atau bangunan.

Modul terakhir ialah tindak balas yang mengajar pelatih bagaimana untuk bertindak terhadap masalah yang diberikan dan mengatasi ancaman.

Katanya, peserta kursus berlainan pada setiap siri, namun dia tidak mengambil lebih daripada 20 peserta untuk memaksimumkan kualiti pengajaran.

Afrol yang merupakan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Diraja Malaysia menggunakan modul dan silibus yang menyerupai latihan UTK di mana antara tugas unit itu ialah untuk mengawal keselamatan orang kenamaan seperti Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan juga pemimpin luar negara yang datang ke negara ini.

Berbekalkan pengalaman selama 13 tahun dalam pasukan khas itu, tidak hairanlah jika sijil yang dikeluarkan Afrol mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Dia yang telah melatih penga­wal peribadi sejak 2010 itu berkata, bukan mudah ingin mencari calon-calon yang layak untuk menggalas tanggungjawab yang besar itu.

Kecerdasan minda


Bercerita lanjut, dia berkata, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi sepanjang kursus sebelum seseorang itu layak diberi sijil sebagai pengawal peribadi.

“Terdapat beberapa ujian fizikal, mental, daya tahan dan kekuatan berkumpulan yang perlu dipenuhi oleh pelatih.

“Jurulatih juga akan melihat bagaimana seseorang itu bertindak terhadap permasalahan yang diberi dan komitmen yang ditunjukkan. Dari situ kita dapat mengesan siapa yang benar-benar layak untuk diiktiraf menjadi pengawal periba­di,” jelasnya.

Menurutnya, ramai antara pelatihnya merupakan orang awam, namun tidak kurang juga daripada kalangan bekas anggota polis atau tentera yang berhenti tanpa pencen.

Seorang peserta kursus itu, Mohd. Azahari Ruslan, 30, menceritakan pengalamannya sepanjang menjadi pelatih pengawal peribadi kepada kru Jurnal.

“Sepanjang tempoh latihan, kami didedahkan dengan perancangan dan pelaksanaan teknik yang diperlukan bagi seorang pe­ngawal peribadi. Selain itu, kami diajar silibus yang sesuai dengan ancaman-ancaman terkini.
KEMAHIRAN menggunakan senjata api perlu dimiliki oleh pengawal peribadi.
“Sebenarnya, kecerda­san minda merupakan kunci kepada kerjaya pengawal peribadi yang berjaya. Ini kerana, seseorang yang ditugaskan menjaga nyawa orang lain perlu mempunyai res­pon yang cepat terhadap sesuatu situasi.

“Dalam situasi cemas, pengawal mempunyai dua saat untuk membuat sesuatu keputusan sebelum bertindak,” jelasnya yang bercadang untuk mengikuti kursus-kursus tambahan bagi memantapkan kemahirannya dalam bidang itu.

Azahari yang merupakan bekas anggota polis trafik menyertai kursus itu pada Oktober lalu bersama 17 peserta lain.

Akuinya, latihan yang diberikan seperti rentas halangan dan membuka pasang senjata dengan mata tertutup memang mencabar daya tahannya, namun itulah lumrah yang perlu dilalui sebelum menggalas amanah yang bakal diberikan majikan.

Selain daripada teknik umum yang perlu dikuasai oleh pengawal peribadi, terdapat juga kemahiran lain berkaitan dengan aktiviti yang diminati oleh majikan mereka yang perlu dikuasai mereka.

“Umpamanya, jika majikan itu minat selam skuba, pengawalnya juga perlu menguasai teknik-teknik berkaitan bagi menyelamatkan majikannya itu sekiranya terjadi perkara-perkara yang tidak diingini semasa menyelam,” tambah Azahari.

Seorang pengawal peribadi yang mempunyai kemahiran asas boleh mendapat gaji permulaan sebanyak RM3,500, manakala mereka yang bersenjata boleh mendapat gaji asas antara RM8,000 ke RM9,000. Pengawal peribadi dibayar berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki mereka dan gaji mereka boleh mencecah sehingga RM20,000 sebulan.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...