Laluan ECRL. |
BEIJING: Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 kilometer (km) menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11) akan dibina dan dibiayai oleh China.
Kontrak pembinaan dianugerahkan kepada syarikat China Communication Construction Company Ltd (CCCC) manakala perjanjian kewangan akan dibuat dengan Export-Import Bank of China (EXIM).
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata Malaysia mendapat pinjaman kewangan kompetitif dari China yang jauh lebih rendah berbanding pasaran antarabangsa.
"Projek ini mempunyai pelbagai kesan positif. Bandar kecil seperti Mentakab, Dungun dan Tumpat di sepanjang laluan akan mendapat faedah dari segi pembangunan," katanya kepada media selepas menyambut ketibaan Datuk Seri Najib Razak di Hotel China World di sini, hari ini.
Mohd Irwan berkata, butiran kontrak dan rangka kerja pinjaman akan ditandatangani pada lawatan Perdana Menteri ke China ini. Katanya, pembinaan landasan itu akan memudahkan pelbagai produk keluaran pantai timur dibawa ke pantai barat, terutama Pelabuhan Klang.
"Ini akan menjadikan pasaran lebih kompetitif kerana kos pengangkutan rendah, selain menaikkan taraf hidup penduduk," katanya. Mohd Irwan berkata, projek berimpak tinggi itu boleh dimulakan tahun depan jika semua urusan berkaitan selesai hujung tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...