KUALA LUMPUR - Selepas pendedahan bersiri Utusan Malaysia mengenai gejala penipuan dan penyalahgunaan anugerah kebesaran, kerajaan bertindak dengan menggubal Rang Undang-undang Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2016.
Inilah langkah paling konkrit dilaksanakan bagi menangani kes-kes melibatkan anugerah kebesaran palsu yang berlarutan sejak bertahun-tahun lamanya.
Rang undang-undang itu yang dibacakan untuk kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam sidang Dewan Rakyat hari ini mencadangkan individu yang disabitkan kesalahan melibatkan penerimaan dan penggunaan anugerah kebesaran tidak diiktiraf dipenjara sehingga tiga tahun.
Selain itu, hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali dicadangkan bagi individu yang disabitkan kesalahan lain yang berkaitan seperti menghadiri istiadat pengurniaan serta membuat atau memiliki lambang kebesaran.
Kesalahan-kesalahan lain di bawah rang undang-undang tersebut adalah menyamar sebagai pemegang anugerah Yang di-Pertuan Agong dan menggunakan anugerah Yang di-Pertuan Agong yang telah dibatalkan atau ditarik balik.
Turut menjadi kesalahan adalah perbuatan menerima dan menggunakan anugerah asing daripada ketua negara yang tidak diiktiraf.
Contohnya, bagi Indonesia dan Filipina, kerajaan hanya mengiktiraf anugerah yang dikurniakan oleh Presiden kedua-dua republik berkenaan.
Rang undang-undang itu juga menetapkan, setiap warganegara kecuali raja-raja dan permaisuri serta Yang Dipertua Negeri dan pasangan mereka hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis Yang di-Pertuan Agong sebelum menerima anugerah asing.
Individu yang disabitkan kesalahan menerima dan menggunakan anugerah asing tidak diiktiraf boleh didenda tidak melebihi RM500,000.
Sementara itu, hukuman penjara maksimum 20 tahun boleh dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah melakukan rasuah berkaitan pengurniaan anugerah kebesaran sama ada yang diiktiraf atau sebaliknya.
Huraian rang undang-undang tersebut menyatakan, kerajaan memutuskan langkah itu diambil bagi mengekang kegiatan penganugerahan gelaran dan kebesaran yang semakin menjadi-jadi oleh orang tanpa kuasa dari segi Perlembagaan Persekutuan serta individu yang bukan ketua negara.
Isu penggunaan anugerah kebesaran tidak diiktiraf termasuk dari negara asing didedahkan Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia dalam siri laporan eksklusif mulai 10 Januari lalu.
Kontroversi berhubung darjah dan pingat yang tidak diiktiraf di negara ini antaranya melibatkan individu yang mengaku ‘Sultan Melaka’, wanita tukang urut mendakwa sebagai ‘Raja Kerinchi Tinggi Sumatera, Indonesia’ atau Bonda Ratu, Kesultanan Sulu yang dianugerah oleh Jamalul Kiram III, keturunan Naning dan Raja Sukakata, Paku Buwono XIII.
Malah, ada individu yang sanggup membayar sehingga RM100,000 semata-mata untuk mendapatkan gelaran ‘Datuk Seri’ daripada pihak-pihak yang tidak diiktiraf itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Azalina turut membentangkan Rang Undang-undang Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016 bagi mencadangkan hukuman maksimum dinaikkan kepada denda RM20,000 dan tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Hukuman bagi individu yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang berkenaan sebelum ini adalah denda tidak melebihi RM1,000.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...