Sunday 6 November 2016

Minyak masak Malaysia berlambak di Thailand

WARTAWAN Mingguan Malaysia menemu bual seorang peniaga barangan runcit di pekan Danok, Thailand.
SUNGAI GOLOK (Thailand) - Mudah diperoleh. Itulah ungkapan pertama yang keluar daripada mulut para peniaga kedai runcit di pasar Sungai Golok di sini ketika ditanya mengenai lambakan minyak masak keluaran Malaysia di premis mereka.

Situasi itu jelas menimbulkan persoalan memandangkan sejak minggu lalu bekalan minyak masak didapati berkurangan di kebanyakan kedai runcit dan pasar raya di seluruh negara sehingga menimbulkan keluhan ramai pengguna.

Tinjauan Mingguan Malaysia di pasar Sungai Golok dan kawasan sekitarnya mendapati hampir semua kedai runcit menjual minyak masak keluaran Malaysia, selain beberapa barangan kawalan lain seperti tepung gandum, bawang merah dan telur.

Seorang peniaga barangan runcit yang hanya mahu dikenali sebagai Nong, 30, memberitahu, dia menjual minyak masak keluaran Malaysia kerana barangan keperluan itu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di kawasan ini.

Katanya, dia memperoleh be­kalan minyak masak bersubsidi itu daripada rakyat Malaysia sendiri yang menjual secara borong kepadanya tanpa perlu melalui orang tengah.

“Kedai saya hanya menju­al minyak masak peket satu ki­logram dengan harga sekitar RM3.50 sehingga RM4. Harga tersebut membolehkan saya mendapat untung antara RM1 atau lebih bagi setiap satu kilogram.

“Pembekal saya juga terdiri daripada peniaga kedai runcit di Malaysia sendiri. Di Malaysia mereka menjual minyak masak dengan harga RM2.50, namun mereka tolak kepada saya antara harga RM2.70 atau RM2.80,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Somcat, 28, berkata, minyak masak keluaran Malaysia memang mendapat permintaan tinggi di sini kerana kualitinya berbanding Thailand yang menggunakan kacang soya.

“Selain kualiti, minyak masak Malaysia juga dijamin halal sekali gus menarik ramai pembeli beragama Islam di sini. 

Selain mendapatkan secara borong da­ripada pembekal Malaysia, saya kadang-kadang membeli sendiri di sekitar Rantau Panjang, Pasir Mas dan Kota Bharu dengan kuantiti sedikit, namun berulang kali,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Ming­­guan Malaysia juga mendapati kawalan serta pemeriksaan khususnya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Rantau Panjang masih longgar dan dilakukan secara ala kadar, sekali gus memudahkan kende­raan keluar masuk.

Keadaan itu mungkin dise­babkan hubungan yang rapat antara penduduk dengan pihak berkuasa sehingga orang ramai mudah berulang-alik membawa barangan keperluan termasuk yang bersubsidi dan tertakluk di bawah harga kawalan ke negara jiran itu.

Malah seorang wanita tidak takut menunggang motosikal da­ri CIQ Rantau Panjang dengan membawa lima hingga 10 papan telur untuk masuk ke bandar ini.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...