Muslim (kiri) dan Abdul Aziz menunjukkan wang kertas lama milik mereka |
SEBUT sahaja wang lama, mungkin ada segelintir masyarakat berpendapat ia tidak bernilai langsung, tetapi bagi mereka yang mempunyai obsesi dengan syiling dan wang kertas lama tentunya mempunyai tanggapan berbeza.
Hobi mengumpul syiling dan wang kertas lama sebagai koleksi bukan semudah disangka kerana banyak ciri yang perlu diambil kira terutama keadaan fizikal wang dan tahun wang tersebut dikeluarkan.
Bagi pengumpul syiling dan wang kertas lama, Muslim Abdul Aziz, 53, dia jatuh cinta dengan hobi mengumpul duit lama sejak 30 tahun lalu dan sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mendapatkan wang yang dinginkan sebagai koleksi atau untuk dijual semula kepada peminat lain.
“Ramai yang anggap makin lama usia duit itu, makin tinggi nilainya. Sebenarnya duit baru yang masih sah di pasaran juga ada nilai tinggi kalau duit itu ada kesilapan atau kecacatan yang tidak disengajakan ketika dicetak,” katanya.
Menurutnya, selain usia dan keadaan fizikal, jumlah yang dikeluarkan serta nombor siri juga antara penentu nilai wang berkenaan.
Katanya, kebiasaannya ciri-ciri wang yang mempunyai nilai tinggi hanya diketahui oleh mereka yang benar-benar berminat untuk mempelajarinya atau pengumpul itu sendiri berbekalkan pengalaman yang ada.
Mampu jual berkali ganda daripada nilai asal
Mengumpul wang lama juga boleh diibaratkan sebagai pelaburan kerana mampu memberi keuntungan berlipat kali ganda dalam jangka masa pendek dan panjang.
Menurut Muslim, dia pernah memiliki sekeping wang kertas RM1 baharu yang senget cetakannya dan mampu menjualnya kepada seorang pengumpul wang dengan harga RM1,350 beberapa bulan lalu.
“Siri wang kertas cetakan terhad atau siri awal seperti A1 serta siri Z yang sukar diperoleh antara wang kertas yang tinggi nilainya sehingga puluhan malah ratusan kali ganda daripada nilai sah lakunya di pasaran.
“Saya selalu menjelajah ke beberapa negeri untuk penuhkan koleksi saya dan mungkin saya dah belanjakan puluhan ribu ringgit untuknya,” katanya.
Menurutnya, ketika ini pelbagai jenis mata wang dan syiling lama serta baharu yang dianggarkan nilainya mencecah RM500,000 berada dalam simpanannya.
Terpengaruh dengan rakan
Sementara itu, Abdul Aziz Rahim, 60, berkata, dia baru berjinak-jinak secara serius sebagai pengumpul mata wang selepas berkenalan dengan Muslim sejak dua tahun lalu.
Katanya, sebelum ini dia pernah menyimpan beberapa syiling lama namun kesemuanya hilang ketika dia melakukan kerja-kerja mengubahsuai rumah 15 tahun lalu.
“Walaupun nilai wang yang berada dalam simpanan saya tak sebanyak Muslim, saya tak berani nak simpannya di rumah sebab serik dengan kejadian dulu.
“Saya akan bawa wang itu bersama atau minta Muslim tolong simpankan kalau saya pulang ke kampung atau tinggalkan rumah dalam tempoh yang lama,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...