Wajah polos Hyon-hui pada tahun awal direkrut sebagai perisik. |
‘‘SAYA selayaknya dihukum mati beratus kali disebabkan perbuatan saya,” bait kata itu diungkapkan ratu perisik Korea Utara, Kim Hyon-hui dengan linangan air mata ketika dihadapkan ke mahkamah Korea Selatan 30 tahun lalu.
Wanita itu terbabit dalam misi meletak bom di dalam pesawat penumpang Korea Selatan yang sedang transit dari Baghdad menuju Seoul. Ketika melintasi Myanmar, pesawat itu meledak di udara dan mengorbankan 115 nyawa.
Baru berusia 25 tahun ketika kejadian, dia bersama rakan setugasnya, Kim Seung-il, 72, berpura-pura seperti pasangan bapa dan anak menggunakan identiti palsu rakyat Jepun sebelum ditahan di Bahrain beberapa hari kemudian.
Pada tahun 1987, Korea Selatan sepatutnya menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan Hyon-hui dimaklumkan oleh pihak pemerintah, tindakan meletakkan bom itu bertujuan membantu gerakan revolusi dan menyatukan kedua-dua negara Korea.
Hyon-hui dilahirkan pada tahun 1962. Dia menjadi aktres dan membintangi filem berwarna pertama di Korea Utara sebelum menyertai agensi perisikan elit yang terletak di sebuah gunung terpencil selama lapan tahun.
Latihan yang diikutinya meliputi ilmu pertahanan diri termasuk mempelajari selok belok bahasa Jepun di samping turut dihantar ke Macau untuk belajar bahasa Kantonis.
Dia juga dilatih berbelanja di kompleks beli-belah menggunakan kad kredit dan mengunjungi disko. Ia suatu kemudahan yang tidak terdapat di tanah airnya.
“Saya diajar bahawa pemimpin kami adalah tuhan. Korea Utara bukan sebuah negara. Ia adalah kultus (sistem pemujaan). Kami diajar meletakkan kepentingan pemerintah lebih daripada ibu bapa sendiri,” ujarnya dalam satu temu bual eksklusif bersama Perbadanan Penyiaran Australia pada 2013.
Ketika ditahan di Bahrain, dia cuba membunuh diri dengan menelan pil sianida yang disembunyikan dalam gulungan rokok namun dia berjaya diselamatkan.
“Sebelum tidak sedarkan diri, wajah terakhir yang saya ingati ialah ibu saya.
“Sehingga hari ini saya tidak tahu apa yang terjadi kepada keluarga saya. Kira-kira 15 tahun lalu, seorang pelarian senegara saya pernah memberitahu melihat keluarga saya berada di kem tahanan,” ujar ibu kepada dua anak itu.
Hyon-hui, 55, yang sepatutnya menjalani hukuman mati bagaimanapun diberi pengampunan oleh pihak pemerintah Korea Selatan selepas bersetuju untuk mendedahkan segala maklumat yang diketahuinya sebagai balasan.
Dia yang tinggal dalam persembunyian di sebuah lokasi dirahsiakan turut lantang mengkritik pemerintahan rejim tanah airnya. Kesal dengan apa yang telah berlaku, mengakui ia menghantui kehidupannya sepanjang hayat.
Berbahaya
Wajah terkini Kim Hyon-hui. |
“Saya kesal apa yang saya lakukan dan saya bertaubat. Sebagai satu-satunya saksi, ia adalah takdir saya untuk memberitahu kebenaran,” tuturnya. Lebih separuh abad, Korea Utara mempunyai sejarah dalam merekrut dan menghantar perisik wanita dalam melakukan tugasan yang diklasifikasikan sebagai berbahaya dan boleh membawa maut.
Ahli politik, ahli perniagaan dan wartawan dilapor menjadi sasaran ejen-ejen terlatih yang dihantar Pyongyang. Bagi kebanyakan kes, mereka turut mengandungkan bayi individu yang disasarkan untuk tujuan memeras ugut.
Dalam hal ini, ahli-ahli politik akan dieksploitasi untuk meluluskan undang-undang yang memihak kepada Korea Utara atau meningkatkan bantuan demi kepentingan parti pemerintah.
Wartawan akan diminta melaporkan berita positif atau menyembunyikan maklumat tertentu dengan ahli perniagaan serta digesa menjalinkan usaha sama dengan perusahaan tempatan.
Jang Jin-sun yang pernah berkhidmat sebagai pegawai propaganda dan risikan sebelum berpaling tadah pada tahun 2004 mendedahkan, program dikenali sebagai ‘perangkap madu’ itu diilhamkan Kim Jong-il iaitu bapa kepada pemerintah tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.
Tambahnya, wanita-wanita berpenampilan menarik dipilih dari universiti dan sekolah tinggi untuk dilatih mempelajari seni perisikan termasuk teknik mempertahankan diri, mengintip, menggunakan senjata api dan membuat bom.
Mereka kemudiannya ditugaskan mengendalikan sasaran berkepentingan dengan bertugas sebagai penterjemah, pembantu peribadi, pemandu pelancong dan penghibur.
Hubungan istimewa
“Sasaran rejim adalah rakyat asing yang kemudiannya menjalin hubungan istimewa dengan perisik-perisik berkenaan. Setelah meninggalkan Pyongyang, mangsa diberitahu wanita tersebut telah melahirkan anak mereka.
“Terdapat wilayah di Pyongyang yang menjadi lokasi rahsia kanak-kanak berdarah kacukan ini dibesarkan,” kata Jang, 46, dalam buku tulisannya yang berjudul, Dear Leader.
Anak-anak tersebut tidak sekadar disimpan untuk tujuan memeras ugut. Identiti yang samar membolehkan mereka menjadi ejen sempurna dan boleh digunakan untuk menyusup ke luar negara pada masa depan.
Pengkritik berprofil tinggi yang juga bekas komando Korea Utara, An Chan-il pernah dipetik portal The Japan Times sebagai berkata, rejim pemerintah dilihat cenderung meminggirkan ejen lelaki dan memberi keutamaan kepada ejen wanita dalam sesuatu tugasan risikan.
“Mereka (ejen wanita) boleh dengan mudah menyembunyikan penyuntik racun mini dalam alat solek seperti gincu yang diperbuat daripada plastik. Ia pasti sukar dikesan dalam kawalan di lapangan terbang,” katanya yang mendapat suaka politik di Korea Selatan sejak 1970-an.
Dalam pada itu, menurut bekas ahli elit di Bahagian Pembangunan Penyatuan Korea Utara, Kang Myong-do, perisik memainkan peranan besar dalam mengekalkan kuasa dan pengaruh pemerintah sama ada di dalam atau di luar negara.
Berkhidmat sekitar tahun 1984, Myong-do berkata, salah satu daripada peranan yang dimainkan bahagian itu ialah menempatkan penugasan perisik di Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.
“Saya melihat pemerintah melayan mereka dengan baik pada tahap sama seperti jeneral dan diberi pendidikan pada tahap tertinggi. Jadi adalah adil untuk mengatakan peranan yang dimainkan perisik sangat penting,” katanya.
Pada tahun 2008, Korea Selatan mengeluarkan amaran kepada anggota tentera dan ahli perniagaan mengenai skim ‘perangkap madu’ tersebut ekoran penahanan Won Jeong-hwa iaitu seorang daripada pengintip dari negara tersebut.
Menteri Pertahanannya, Lee Sang-see, mendedahkan, wanita berusia 34 tahun itu telah ditauliahkan Pyongyang untuk mendapatkan maklumat sulit daripada seorang kapten tentera berusia 26 tahun yang turut sama diberkas.
Jeong-hwa dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun kerana didakwa menggoda pegawai tersebut secara seksual dan turut digelar media sebagai Mata Hari mengambil nama perisik jelita dari Jerman yang dihukum bunuh semasa Perang Dunia Pertama.
Begitupun, selepas bebas dari penjara Jeong-hwa berkata, imej Mata Hari itu sengaja diperbesarkan untuk mensensasikan berita dan mendakwa benar-benar mencintai pegawai muda itu.
Ia bukanlah suatu pembongkaran baharu memandangkan pada Disember 1992, agensi perisikan Korea Selatan telah mengumumkan penahanan 62 individu yang terlibat menubuhkan cawangan rahsia Parti Pekerja di negara mereka yang telah beroperasi selama sedekad. Ia diterajui seorang wanita bernama Lee Sun-sil yang didakwa menempati tangga ke-22 dalam hierarki politik di Korea Utara dan akhirnya dihantar pulang ke negara asalnya.
“Ini bermakna Korea Utara masih tidak berubah dan cuba untuk mengukuhkan usaha menyebarkan revolusi di Korea Selatan. Kita perlu memahami dengan jelas bahawa mana-mana pegawai tentera boleh menjadi sasaran,” tambah Lee.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...