Tuesday 3 January 2017

Cedera ditumbuk lelaki gila seks


PASIR GUDANG – Seorang gadis bukan sahaja terpaksa menanggung trauma selepas seorang lelaki ‘gila seks’ bertindak melondeh seluar me­nunjukkan kemaluannya, malah lebih teruk mangsa kemudian ditumbuk bertubi-tubi di muka sehingga berlumuran darah di hadapan rumahnya sendiri di Taman Tanjung Puteri Resort di sini pada Khamis lalu.

Akibat perbuatan lelaki gila seks berkenaan pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu terpaksa menerima 14 jahitan pada bahagian pipi kiri.

Mangsa difahamkan ditumbuk lebih empat kali oleh lelaki ber­kenaan.

Menurut mangsa, Rochell Wayne Ubong, 20, kejadian berlaku sekitar pukul 1 pagi ketika dia baru meletakkan kereta di hadapan rumahnya selepas pulang daripada menghadiri satu majlis kesyukuran rakannya di Kampung Pasir Putih di sini.

“Selepas keluar dari kereta, seorang lelaki berumur dalam lingkungan 30 tahun tiba-tiba meluru ke arah saya dan bertindak membuka seluar sambil menunjukkan kemaluannya.

“Saya menjerit sekuat hati sebelum ibu dan bapa saya yang pada ketika itu sedang tidur di dalam rumah tersedar,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Rochell yang sedang menjalani latihan industri di sini, lelaki berkenaan kemudiannya bertindak cuba merampas beg silangnya dan berlaku pergelutan antara dia bersama lelaki terbabit.

“Tindakan saya yang tidak melepaskan beg tangan saya menyebabkan lelaki berkenaan menumbuk saya lebih daripada empat kali sebelum melarikan diri kerana gagal mengambil beg saya,” ceritanya yang merupakan pelajar Politeknik Mersing.

Akui Rochell, dia masih berada dalam keadaan trauma kerana kejadian itu merupakan pertama kali berlaku di kawasan perumahannya.

“Sebelum ini, saya tidak pernah terdengar cerita mengenai kejadian seperti ini di kawasan perumahan saya. Bagaimanapun, selepas ini, saya akan mengambil langkah berhati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superinten­dan Jokhiri Abd. Aziz mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut dan usaha mengesan suspek masih lagi giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Sek­syen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan cubaan samun dan menyebabkan kecederaan.

“Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu memberi kerjasama atau menyalurkan maklumat melalui talian 07-386 4222,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...