Status yang dimuat naik Dr. Zambry di laman Twitternya. |
Manjung: Polis sedang menyiasat kegiatan curi kabel telekomunikasi yang semakin menjadi-jadi di daerah ini seperti didedahkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam Twitternya hari ini.
Zambry memuat naik status meminta polis menyiasat hingga ke akar umbi kegiatan curi kabel yang semakin serius di daerah itu dan menyatakan menerima maklumat terdapat tempat yang membeli hasil curi berkenaan.
Dalam satu lagi statusnya, Zambry turut memuat naik gambar pekerja syarikat telekomunikasi yang sedang memasang semula kabel telekomunikasi yang dicuri dengan status menyatakan beliau dan pengawalnya mengejar dua pelaku yang dipercayai sedang mencuri kabel pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, unit kereta peronda (MPV) polis sudah dihantar ke lokasi kejadian seperti yang dimaklumkan Menteri Besar dalam Twitter itu sebaik menerima maklumat.
Katanya, polis sentiasa memantau kegiatan itu namun maklumat diterima masih kurang sehingga menyukarkan tindakan diambil.
"Kurang maklumat diberikan oleh orang ramai seperti jam berapa kejadian itu berlaku, jenis kenderaan dan maklumat pelaku serta di mana kabel itu dijual menyukarkan tindakan diambil.
"Namun kita sentiasa memantau kegiatan ini dan akan mengambil tindakan sehingga ke akar umbi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...