Friday, 6 January 2017

Lacurkan isteri sendiri kepada pekerja asing

  Asisten Komisioner Md. Zukir Md. Isa.

ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan dipercayai melacurkan isterinya sendiri di sebuah rumah di Bandar Aman Jaya di Sungai Petani semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, wanita 23 tahun itu mendakwa dipaksa melacur kepada seorang warga Bangladesh dengan bayaran RM50 ketika ditangkap berkhalwat di rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md. Zukir Md. Isa berkata, wanita itu mendakwa terpaksa mengikut arahan suaminya yang kini tidak lagi bekerja kerana takut dipukul.

"Wanita itu mengaku dipaksa melacur selepas rumah itu diserbu rukun tetangga yang menerima aduan terdapat kes khalwat di situ. Suami wanita yang menunggu di dalam kereta turut berjaya ditahan manakala lelaki Bangladesh tersebut dapat melarikan diri," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan.

"Lelaki berkenaan direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes itu, " katanya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...