Pelbagai mata wang asing yang dirampas oleh SPRM dalam serbuan di sebuah rumah millik Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Subang Jaya, Selangor, kelmarin. |
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas lagi wang tunai berjumlah lebih RM550,000 dari rumah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang direman atas kesalahan menyalahgunakan kuasa dan rasuah bersama dua anaknya kelmarin.
Difahamkan, wang tersebut disembunyikan oleh salah seorang anak suspek dalam rumahnya di USJ, Subang Jaya di sini sekali gus menjadikan keseluruhan aset yang dirampas dalam kes berkenaan mencecah RM6.5 juta.
Menurut sumber, wang tunai yang berjumlah RM550,000 itu termasuk mata wang pound, euro dan dolar Singapura dirampas di rumah berkenaan yang disorokkan dalam bilik orang gajinya malam semalam.
“Kita telah merakamkan percakapan anak suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an itu bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati wang tersebut pada mulanya berada di bilik utama sebelum disembunyikan di bilik orang gaji, kita percaya wang itu cuba dibawa keluar dari rumah berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi hari ini mengesahkan rampasan wang tunai itu.
Kelmarin, seorang KSU berusia 59 tahun ditahan reman selama tujuh hari bersama dua anaknya kerana dipercayai terlibat dalam kes penyalahgunaan kuasa untuk menerima rasuah.
Hasil siasatan lanjut, SPRM turut menemukan wang tunai dan jongkong emas bernilai RM2.6 juta disimpan dalam tiga peti besi keselamatan di dua bank tempatan di sekitar Lembah Klang.
Suspek dikatakan turut mempunyai lebih 10 lot tanah di Selangor atas nama ahli keluarganya.
SPRM semalam turut merampas beberapa dokumen yang disyaki mempunyai maklumat berkaitan dengan kes penyelewengan dan perbuatan rasuah tersebut.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...