Monday 9 January 2017

SPRM pastikan 'jerung' tidak terlepas - TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Pengisytiharan Daerah Bagan Datuk di Bagan Datuk, sebentar tadi.
BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penangkapan seorang Ketua Setiausaha kementerian menunjukkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak hanya menahan 'ikan bilis' tetapi juga 'jerung' yang terbabit rasuah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penangkapan itu amat dialu-alukan memandangkan kedudukan Malaysia yang agak tinggi dalam Indeks Amalan Rasuah yang disenaraikan oleh pihak antarabangsa.

"Oleh itu, kita berharap ia diteruskan, jangan ada kompromi kerana ia meletakkan imej yang baik kepada negara," katanya pada sidang media selepas majlis Pengisytiharan Daerah Bagan Datuk di sini sebentar tadi. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berharap tindakan penangkapan 'jerung' rasuah itu bukan langkah bermusim, sementara atau kes terasing tetapi usaha berterusan SPRM setiap masa.

Beliau yakin kepemimpinan SPRM sekarang memiliki keazaman yang kuat dan jitu bagi membanteras amalan rasuah dan menahan 'jerung' yang terbabit dalam kegiatan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...