Wednesday 25 January 2017

Seleweng dana Felda

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani.

KUALA LUMPUR - Salah guna kedudukan dan seleweng AS$10 juta (RM47.6 juta) dana Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sejak 2014.

Itu kegiatan dua pegawai dan tiga bekas pegawai syarikat milik kerajaan (GLC) termasuk seorang bergelar Datuk yang ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang antara pukul 11.30 pagi dan 6 petang hari ini menerusi Op Caviar yang dilancarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek yang bergelar Datuk berusia 57 tahun itu merupakan bekas Pengarah Besar Felda manakala empat lagi adalah bekas Timbalan Pengarah Besar (Sumber Strategik) Felda berusia 53 tahun; bekas pegawai projek ikan sturgeon berusia 30 tahun; Ketua Hartanah Felda di London berusia 38 tahun dan Penolong Pegawai Tadbir Felda berusia 33 tahun.

Menurut sumber, turut dirampas adalah beberapa utas rantai dan gelang emas, sebuah kereta Mercedes-Benz dan wang tunai yang nilainya masih belum diketahui.

Katanya, dua bekas pegawai tertinggi Felda berusia 57 dan 53 tahun yang ditahan itu turut menandatangani satu perjanjian bernilai AS$45 juta (RM146.25 juta) dengan sebuah syarikat penternakan ikan sturgeon di Korea setelah menubuhkan sebuah syarikat dengan nama Felda Carviative Sdn. Bhd. (FCSB) pada Januari 2014.

Jelas sumber, suspek telah menyalahgunakan kedudukan mereka kerana syarikat tersebut ditubuhkan tan­pa pengetahuan Lembaga Pengarah, Bahagian Perundangan dan Bahagian Kewangan Felda.

“Satu mesyuarat ber­hubung projek itu telah diadakan pada 2013 dan lembaga pengarah meminta suspek berusia 53 tahun untuk menyediakan laporan terperinci berhubung pelaburan projek itu untuk dibentangkan.

“Walau bagaimanapun, projek berkenaan tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar Pahang, namun disebabkan unit kewangan turut berada di bawah pengawasan suspek, dia bertindak meluluskan dana seterusnya membuat pembayaran kepada syarikat Korea tersebut seminggu selepas penubuhan FCSB,” kata sumber di sini hari ini.

Menurut sumber itu lagi, perjanjian ditandatangani dua suspek utama itu merupakan kontrak bagi projek ikan sturgeon yang meliputi pelaksanaan Perjanjian Perkhidmatan Pemindahan Teknologi (TTSA) dan Perjanjian Reka Bentuk dan Pembinaan (DBCA).

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan kesemua tangkapan tersebut dan memaklumkan pihaknya turut merampas dokumen-dokumen berhubung projek berkenaan yang dipercayai dapat membantu siasatan SPRM.

Menurut Simi, kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman esok.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...