Tan Sri Adenan Satem. |
KUCHING - Negeri Sarawak mengumumkan esok sebagai cuti umum sebagai menghormati kematian Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hari ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan negeri juga mengumumkan tempoh berkabung selama tujuh hari bermula esok.
Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang, manakala semua acara rasmi akan ditangguhkan buat sementara waktu.
"Jenazah Allahyarham (Adenan) akan dibawa dari kediaman rasminya di Damai Jaya, Santubong ke Masjid Jamek Negeri untuk majlis penghormatan terakhir oleh pemimpin kenamaan dan rakyat pada pukul 10.30 pagi esok.
"Selepas itu, jenayah Allahyarham akan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia di sini sebentar tadi.
Abang Johari menambah, Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka hadir esok untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Dalam nada sedih, Abang Johari turut menyifatkan kematian Adenan sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak dan Malaysia.
"Semasa hayat, beliau merupakan seorang pemimpin yang bijaksana dan cukup dekat di hati rakyat," katanya.
Sebelum ini, Adenan, 72, menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak, Kota Samarahan di sini pada pukul 1.20 petang ini.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...