Friday 27 January 2017

Edar syabu guna kanak-kanak

Asisten Komisioner Azhar Hamin.
SANDAKAN - Polis menumpaskan kegiatan pengedaran syabu menggunakan kanak-kanak berikutan penahanan tiga bersaudara dan merampas syabu seberat 1.05 kilogram di Flat Majlis Perbandaran Sandakan Karamunting di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Azhar Hamin hari ini berkata, seorang wanita berusia 37 tahun ditahan bersama remaja perempuan berusia 15 tahun dan kanak perempuan berusia sembilan tahun yang ketiga-tiganya mempunyai pertalian saudara.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sandakan membuat intipan dan tugas risikan dadah, di sebuah blok flat itu pada pukul 5 petang.

Menurutnya, mereka ternampak ketiga-tiga perempuan itu berada dalam keadaan mencurigakan sambil memegang satu plastik berwarna hitam.

"Ketiga-tiganya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu dalam plastik hitam itu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di sini. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...