Sunday, 15 January 2017

Eropah bakal jadi negara Islam

GAMBAR fail sekumpulan masyarakat Islam berkumpul untuk menunaikan solat Jumaat di hadapan Colosseum di Rom, Itali pada 21 Oktober lalu.

POMPEII, Itali – Seorang ketua biskop dari sebuah gereja Katolik di sini memberi amaran bahawa Eropah dan Itali akan menjadi sebuah negara Islam di­sebabkan peningkatan rakyat di negara itu yang menjadi ateis, lapor MailOnline.

Carlo Liberati yang juga merupakan Biskop Emeritus Pompeii mendakwa, selain kejahilan beragama dalam kalangan penduduk, pertambahan imigran beragama Islam ke Eropah juga bakal menjadikan Islam menjadi agama utama di rantau ini.

“Dalam tempoh 10 tahun, kita semua akan jadi orang Islam kerana kebodohan dan kejahilan diri sendiri. Itali dan Eropah mengamalkan gaya hidup secara pagan dan ateis, mereka akan membuat undang-undang menentang tuhan dan mengamalkan tradisi fahaman jahiliah.

“Semua keruntuhan moral dan agama ini akan memberi kele­bihan kepada Islam. Kita mempunyai kepercayaan lemah terhadap agama Kristian. Gereja kini tidak berperanan dengan baik dan seminar yang diadakan sentiasa kurang mendapat sambutan,” katanya semasa berucap dalam satu seminar di sini kelmarin.

Itali menjadi destinasi utama imigran beragama Islam dengan ketibaan kira-kira 330,000 imigran melalui laluan laut dari Afrika, Asia Barat dan Asia sejak dua tahun lalu.

Jumlah penduduk beragama Islam di Itali juga meningkat dari­pada 2,000 orang pada 1970-an kepada lebih 2 juta pada akhir tahun 2015, menurut statistik pihak berkuasa tempatan.

Biskop itu juga menegur tindakan gereja-gereja Katolik ke­rana memberi sumbangan wang kepada kumpulan imigran baru-baru ini.

“Tindakan memberi wang kepada imigran yang berlegar-legar di kawasan bandar adalah salah dari segi moral kerana kita menggalakkan tingkah laku mereka dan mereka akan terbiasa dengan cara itu.

“Jangan lupa bahawa kita juga sudah memberi mereka makan,” katanya. – Agensi

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...