Friday 20 January 2017

RM1.1 juta ditemukan dalam rumah penolong jurutera JKR

Wang tunai berjumlah kira-kira RM 1.1 juta ditemukan di dalam dinding papan di bilik tidur utama rumah penolong jurutera JKR (gambar kiri) di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR – Penahanan seorang penolong jurutera Ja­ba­tan Kerja Raya (JKR) yang dipercayai terlibat dengan kes rasuah dan salah guna kuasa semalam membawa kepada penemuan wang tunai kira-kira RM1.1 juta tersorok di dalam rumah suspek hari ini.

Menurut Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad, pihaknya yang menggeledah rumah tersebut pa­da pukul 3 petang menemukan wang berkenaan disembunyikan pada bahagian dalam din­ding papan yang diubah suai di bilik tidur utama rumah suspek.

“Kita menggeledah rumah sus­pek hasil soal siasat ke atas saksi yang kemudian membawa kepada penemuan wang tunai sebanyak RM1.1 juta yang disim­pan suspek berusia 56 tahun itu dalam bekas plastik dan tin coklat sebelum disembunyikan dalam dinding yang diubah suai di bilik utama rumahnya.

“Berdasarkan siasatan, kita mempercayai penyelewengan yang dilakukan suspek mungkin mencecah sehingga RM3 juta. Siasatan akan diteruskan ke atas suspek setelah kita mendapat tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat SPRM negeri di sini hari ini.

Mohd. Fauzi menambah, wang berkenaan dipercayai ha­sil pembayaran rasuah daripada kontraktor kroni kepada suspek secara tunai dan dilakukan sama ada di rumah, pejabat atau kenderaannya.
“Sehingga kini SPRM sudah merakam percakapan 20 saksi termasuk keluarga suspek, kakitangan jabatan berkenaan dan tujuh kontraktor kroni,” kata­nya.

Dalam pada itu, perintah tahanan reman ke atas suspek yang bermula hari ini itu dike­luarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Jamaludin Elias.

Suspek dibawa ke pekara­ngan lokap Kompleks Mahkamah Alor Setar pada pukul 10.10 pagi sebelum beredar kira-kira 50 minit kemudian diiringi oleh pegawai SPRM.

Kes tersebut kini disiasat me­ngikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Suspek merupakan penjawat awam yang ditahan SPRM dalam Op Block semalam di rumahnya di Kampung Sungai Daun di sini kerana disyaki menyalah guna kuasa dan meminta rasuah daripada beberapa kontraktor sebagai dorongan untuk memastikan mereka berjaya ditawarkan projek kerja penyelenggaraan dan naik taraf jalan.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...