Saturday 7 January 2017

Punca pemberi rasuah sukar diambil tindakan

 Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
KUALA LUMPUR - Kegagalan individu yang cuba disogok rasuah melaporkan tindakan tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyebabkan jenayah rasuah sukar dibendung dan pemberi rasuah sukar diambil tindakan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sebelum berlakunya sebarang transaksi pemindahan wang, individu yang cuba disogok perlu melaporkan kepada SPRM agar tindakan yang sepatutnya dapat diambil kerana jika sudah berlaku transaksi, penerima rasuah akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Kekurangan bukti dan saksi menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk mendakwa pemberi rasuah, seperti yang dilihat hari ini ramai daripada mereka yang didakwa terdiri daripada mereka yang menerima rasuah.

“Oleh itu kerjasama daripada mereka yang cuba disogok amat penting bagi memastikan jenayah rasuah ini tidak terus berleluasa dan menjadi satu ‘penyakit’ dalam masyarakat kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau mengulas tangkapan dan pendakwaan yang dilakukan SPRM ke atas individu-individu termasuk dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan bagi membendung jenayah tersebut. Bagaimanapun daripada penelitian, hampir kesemua kes didakwa melibatkan penerima, manakala pemberi rasuah masih bebas.

Sementara itu, Pengamal Undang-Undang, Datuk Salehuddin Saidin berkata, siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan kepada mereka yang memberi rasuah dan jangan terlalu memberi tumpuan kepada mereka yang menerima sahaja.

“Ini kerana undang-undang sedia ada iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta SPRM 2009) (Akta 694) telah memperuntukkan bahawa pemberi dan penerima boleh dikenakan tindakan jika melakukan jenayah rasuah.

“Jika ada pihak ketiga yang melaporkan tentang individu yang menerima rasuah, pihak berkuasa perlu siasat siapa individu atau pihak yang memberi sogokan kepada penerima rasuah itu,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...