Monday 2 January 2017

Mes pegawai rendah polis Sabah pertama di Malaysia

Datuk Abdul Rashid Harun.
KOTA KINABALU - Mes Pegawai Rendah 3S di Sabah merupakan mes pertama bagi pegawai polis berpangkat rendah di negara ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun hari ini.

Menurutnya, mes bagi anggota berpangkat Sarjan, Sarjan Mejar (SM) dan Sub Inspektor (SI) itu ditubuhkan bagi mengangkat martabat anggota berpangkat rendah kanan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Setakat ini, terdapat 979 Sarjan, Sarjan Mejar serta SI di seluruh Sabah yang boleh menggunakan Mes Pegawai Rendah 3S ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mes Pegawai Rendah 3S di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari hari ini.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain serta Ketua Cawangan Khas Sabah, Datuk Md. Zainal Rahmat.

Abdul Rashid juga berkata penubuhan mes pegawai rendah itu adalah antara usaha menyemai semangat setiakawan selain merapatkan hubungan dalam kalangan warga PDRM.

Terdahulu, Abdul Rashid menutup Latihan Tempur Pasukan Tindak Pantas Siri 4 yang dijalankan di seluruh negeri melibatkan kira-kira 2,000 pegawai dan anggota.

Beliau berkata peserta diberi latihan tempur bagi membantu meningkatkan keyakinan diri dan kesiapsiagaan dalam berdepan ancaman keselamatan di Sabah.

"Keadaan geografi kita yang jauh menyebabkan saya membuat keputusan supaya pasukan ini dapat bertindak pantas tanpa menunggu bantuan pasukan khas dari Bukit Aman.

"Oleh itu, saya berharap agar latihan tempur ini diteruskan bagi memastikan pegawai dan anggota kita walaupun di pejabat mempunyai ilmu pertempuran, sekali gus boleh berkhidmat apabila negara berdepan ancaman," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...