Wednesday 18 January 2017

Bank Britain didakwa biayai kemusnahan hutan Indonesia

JAKARTA – Pertubuhan alam sekitar antarabangsa, Greenpeace semalam mendakwa gergasi perbankan, HSBC memberikan bantuan kewangan berbilion dolar kepada syarikat-syarikat perladangan yang dipersalahkan berhubung kemusnahan hutan hujan yang luas di Indonesia.

Greenpeace berkata, garis panduan HSBC sendiri melarang sokongan diberikan kepada syarikat-syarikat kelapa sawit yang terlibat dengan amalan pembakaran hutan.

Menurutnya, Bank yang beribu pejabat di Britain itu menjadi sebahagian daripada kumpulan yang memberikan pinjaman berjumlah AS$16.3 bilion kepada pihak berkenaan sejak 2012. Bank itu juga terlibat dalam pemberian bon korporat berjumlah hampir AS$2 bilion (RM8.9 bilion), kata Greenpeace dalam satu laporan baharunya.

“HSBC mendakwa bahawa ia merupakan sebuah bank berkaliber yang mengamalkan dasar bertanggungjawab berhubung kemusnahan hutan. Namun, kata-kata indah ini dilupakan semasa menandatangani kontrak pinjaman,” kata aktivis kanan perhutanan Greenpeace bagi rantau Asia Tenggara, Annisa Rahmawati.

Dalam laporannya, Greenpeace turut menyenaraikan enam syarikat yang didakwa terlibat dalam aktiviti pembakaran hutan dan menerima bantuan kewangan daripada HSBC.

Syarikat-syarikat berkenaan ialah Bumitama Agri, Goodhope Asia Holdings, IOI Group, Noble Group, Posco Daewoo dan Salim Group.

Mengulas dakwaan itu, HSBC berkata bahawa pihaknya tidak menyedari telah memberikan perkhidmatan untuk menyokong syarikat-syarikat ladang kelapa sawit yang melanggar dasarnya berhubung aktiviti pemusnahan hutan

Kawasan hutan yang luas di Indonesia telah dibersihkan sejak beberapa tahun lalu untuk membuka ladang-ladang bagi memenuhi permintaan minyak kelapa sawit dunia yang digunakan untuk membuat pelbagai barangan termasuk syampu dan biskut.

Perkembangan tersebut membawa kepada kemusnahan habitat haiwan terancam seperti orang utan.

Kaedah membakar hutan untuk membuka ladang juga mengakibatkan masalah jerebu yang merebak ke beberapa negara jiran Indonesia di Asia Tenggara. – AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...