KAPAL pengangkut helikopter Izumo milik Jepun akan meninggalkan pelabuhan Yokosuka di selatan Tokyo untuk melindungi kapal-kapal pengangkutan bekalan Amerika Syarikat. |
MANILA - Amerika Syarikat (AS) digesa supaya lebih berhati-hati berdepan dengan isu Korea Utara bagi mengelakkan ‘malapetaka’ dengan pemimpin negara itu, Kim Jong-un dilihat ‘mahu menghancurkan dunia’.
Gesaan itu disuarakan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang menegaskan, rantau Asia Tenggara amat bimbang ketegangan yang semakin memuncak antara AS dan Korea Utara bakal mengundang ‘sesuatu yang dahsyat’, sekali gus menyebabkan negara-negara Asia menjadi mangsa pertama perang nuklear.
Duterte yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN memberitahu, pihaknya menggesa Donald Trump supaya tidak meneruskan konfrontasi dengan Jong-un, selepas beliau dijemput ke White House semasa dihubungi melalui telefon oleh Presiden AS itu awal pagi ini.
“AS perlu bersabar kerana kita tahu mereka bermain dengan seseorang yang terlalu taksub dengan kekuatan peluru berpandunya. Saya benar-benar tidak tahu apa yang berada dalam fikiran Jong-un tetapi tindakannya itu seakan-akan mahu memusnahkan dunia.
“Siapa saya untuk mengarahkan pemimpin dunia itu supaya menghentikan tindakannya, tetapi saya hanya akan katakan kepada Trump tolong pastikan tiada peperangan berlaku kerana wilayah ini akan menderita dengan teruk,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pemimpin agama Vatican City, Pope Francis turut mencadangkan negara ketiga seperti Norway mengambil peranan sebagai orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian antara dua negara tersebut sekali gus meredakan keadaan yang sudah ‘terlalu panas’ itu.
Francis berkata, beliau percaya ‘sifat kemanusiaan’ akan musnah sekiranya peperangan dibiarkan berleluasa sambil menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya memainkan semula peranan diplomasinya yang semakin diperkecilkan sejak kebelakangan ini.
“Ada ramai fasilitator di dunia ini termasuk orang tengah yang boleh menawarkan khidmat mereka, contohnya Norway yang sentiasa bersedia memberikan pertolongan. Tetapi laluannya adalah melalui rundingan dan penyelesaian diplomatik,” katanya.
Sementara itu, Jepun mengesahkan akan menghantar kapal perang terbesarnya sejak Perang Dunia Kedua untuk melindungi kapal-kapal AS, manakala Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu terbaharu semalam.
Kapal pengangkut helikopter Izumo akan meninggalkan pelabuhan Yokosuka di selatan Tokyo, esok untuk mengiringi kapal pengangkut bekalan AS masuk lebih jauh ke kawasan barat laut Pasifik Barat.
Usaha itu menjadi penempatan pertama aset terbesar pertahanan Jepun di luar latihan tentera bagi menyokong armada Tentera Laut AS di Pasifik termasuk kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson telah memulakan latihan dengan Tentera Laut Korea Selatan beberapa jam selepas Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistiknya itu.
Korea Selatan turut mengesahkan kesediaan Washington untuk menampung sebahagian daripada kos pemasangan peralatan Sistem Terminal Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) di negara itu.
Sebelum ini, Trump dilaporkan berkata, Korea Selatan perlu membiayai kos pemasangan THAAD sebanyak AS$1 bilion (RM4.34 bilion) bagi menangkis serangan senjata nuklear dari Korea Utara.
Menurut Pejabat Presiden Korea Selatan, jaminan itu diberikan hari ini oleh Penasihat Keselamatan Tertinggi AS, HR McMaster kepada rakan sejawatannya, Kim Kwan-jin, dalam satu panggilan telefon sambil menyatakan AS menganggap negara tersebut sebagai sekutu pentingnya di wilayah Asia Pasifik– REUTERS
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...