Tuesday, 30 May 2017

Beri makan guna sudu punca bayi kegemukan

Bayi perlu diajar dan diberi peluang untuk menyuap makanan sendiri.


CARDIFF - Bayi yang diberi makan ibu bapa mereka menggunakan sudu dipercayai cenderung untuk mengalami masalah ke­gemukan setelah mereka dewasa berbanding kanak-kanak yang menyuap makanan secara sendiri.

Penyelidik dari Universiti Swansea, Profesor Madya Amy Brown yang dipetik Mail Online sebagai berkata, kanak-kanak yang diberi peluang untuk menyuap makanan sendiri didapati lebih tahan lasak serta sihat.

Untuk itu jelas beliau, ibu bapa seharusnya berhenti daripada menyuap makanan menggunakan sudu kepada anak-anak yang sudah melebihi usia enam bulan kerana mereka sudah bersedia untuk diberikan makanan pejal.

Berdasarkan kajian Brown yang ditulis dalam buku Why Starting Solid Matters, pihaknya mendapati bayi yang tidak bergantung kepada ibu bapanya cenderung untuk berhenti makan apabila kenyang dan kurang me­ngalami masalah berat badan.

Jelasnya, bayi sepatutnya dibenarkan makan berdasarkan kemahuan mereka semasa belajar menyuap makanan sendiri kerana perbuatan memberi makan menggunakan sudu hanya mendorong kepada pengambilan makanan berlebihan.

“Biarkan bayi makan sekadar apa yang mereka mahukan. Jika ibu bapa menggunakan sudu dengan mengharapkan anak-anak akan menghabiskan sesuatu makanan dan mereka sudah menutup mulut, biarkan,” katanya.

Brown menghabiskan tempoh beberapa tahun untuk menyi­apkan kajian itu yang diusahakan bersama rakannya, Michelle Lee sejak tahun 2014.

Kajian itu menggunakan sampel sebanyak 298 bayi dengan melihat perkembangan mereka semasa diperkenalkan dengan makanan pejal semasa berusia enam dan 12 bulan.

Mereka kemudiannya mengkaji berat dan tabiat pemakanan bayi yang sama dalam tempoh 18 dan 24 bulan.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...