Tuesday 30 May 2017

Pelampau Buddha ubah nama selepas diharamkan

Wirathu berucap kepada para pengikutnya selepas pergerakannya diharamkan oleh barisan tertinggi agama Buddha Myanmar, baru-baru ini.


YANGON – Gerakan nasio­nalis Ma Ba Tha, sebuah kumpulan pelampau Buddha mengumumkan penjenamaan semula nama­nya beberapa hari selepas pertubuhan utama agama Buddha mengharamkan rangkaian itu yang didakwa telah mencetuskan Islamophobia di Myanmar.

Pergerakan yang diterajui kumpulan sami itu berkembang di bawah kerajaan tentera sebelum ini dan kerap melaungkan satu bentuk nasionalisme Buddha yang telah meningkatkan ketegangan dengan minoriti umat Islam di negara ini.

Pada Selasa lalu, barisan ter­tinggi pemimpin agama Buddha Myanmar mengarahkan Ma Ba Tha untuk menghentikan semua aktivitinya sehingga pertengahan bulan Julai ini atau berdepan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun semalam, pe­mimpinnya dalam kenyataannya bertegas tidak mahu membubarkan gerakan tersebut sebaliknya mengumumkan akan bergerak di bawah nama baharu, Yayasan Dermawan Dhamma Buddha selepas mengadakan persidangan di sebuah biara di Yangon.

“Kami menyeru kepada ahli di seluruh negara untuk bekerja demi negara, bangsa dan agama menggunakan nama Yayasan Dermawan Buddha Dhamma,” kata kenyataan itu yang ditandatangani oleh pemimpin tertingginya, Tilawka Biwuntha.

Gerakan Ma Ba Tha dipercayai kerap melancarkan bantahan dan mengadakan syarahan bertujuan untuk membangkitkan idea bahawa penganut agama Buddha di Myanmar diancam oleh penduduk Islam.

Polis telah menahan beberapa nasionalis bulan ini selepas pergaduhan meletus di kawasan kejiranan Islam Yangon, apabila berpuluh-puluh orang menyerbu sebuah rumah kerana dikatakan menyembunyikan penduduk minoriti Islam Rohingya.

Pada awal tahun ini, badan utama agama Buddha yang dikenali sebagai Jawatankuasa Na­yaka Maha Sangha mengharamkan pemimpin kontroversinya, Wirathu daripada membuat sebarang ceramah selama setahun, tetapi dia didapati masih berdegil memberikan ucapan dalam perhimpunan kelmarin. – AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...