Jeremy Joseph Christian ditahan tidak lama selepas serangan itu terjadi. |
OREGON: Seorang lelaki menikam mati dua penumpang tren komuter di Portland selepas mereka cuba menghalang dia mengganggu dua wanita Islam, kata polis semalam.
Polis mengenal pasti lelaki itu, yang ditahan tidak lama selepas serangan kelmarin itu, sebagai Jeremy Joseph Christian dari Portland, 35, yang memiliki rekod jenayah.
Penyelidik kanan dengan Southern Poverty Law Center, dalam blog, berkata laman Facebook Christian menunjukkan dia bersikap perkauman dan memegang kepercayaan pelampau. Serangan dilakukan beberapa jam sebelum bermulanya Ramadan, apabila 1.6 bilion penganut Islam berpuasa.
Christian bermula dengan mengeluarkan cacian berunsurkan etnik dan agama terhadap kedua-dua wanita itu, seorang daripada mereka memakai tudung, kata Jabatan Polis Portland. Tiga lelaki lain yang cuba menghalangnya ditikam. Ricky John Best, 53 dari Happy Valley, Oregon, maut di lokasi kejadian manakala Taliesin Myrddin Namkai Meche, 23, meninggal dunia di hospital.
Seorang lagi mangsa berada di hospital dengan kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa. Christian didakwa atas dua tuduhan membunuh dan cubaan membunuh, mengancam dan memiliki senjata. Dia diarahkan ditahan tanpa ikat jamin. - Reuters
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...