Monday 1 May 2017

Penjawat awam banyak hutang

Kakitangan kerajaan yang banyak membuat pinjaman dengan bank berpontesi diisytihar muflis.

KUALA LUMPUR – Lebih 60,000 daripada 1.6 juta penjawat awam berdepan risiko muflis berikutan kegagalan menguruskan hutang pinjaman yang dibuat melebihi kemampuan mereka.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda (gambar kecil) berkata, penjawat awam terbabit didapati melakukan beberapa pinjaman peribadi daripada institusi kewangan yang mudah meluluskan permohonan mereka.

“Jumlah lebih 60,000 kakita­ngan kerajaan bakal muflis ini saya lihat semakin serius dan ia terjadi kerana ada penjawat awam yang bertindak memalsukan slip gaji ketika membuat pinjaman.

“Namun cara mana mereka memalsukan slip gaji saya tidak boleh dedahkan,” kata beliau kepada pemberita pada Seminar Hari Pekerja di sini semalam.

Katanya, berdasarkan angka golongan berisiko muflis itu pula melibatkan semua peringkat umur iaitu 30 hingga 50 tahun.

Secara nisbah setiap seorang daripada 27 kakitangan kerajaan didapati berdepan masalah pengurusan kewangan.

Beliau berkata, ketiadaan sistem yang mengawal pinjaman yang dilakukan penjawat awam juga merupakan antara punca mereka berjaya membuat pinjaman melebihi kemampuan dan melakukan pinjaman bertindih.

“Sekarang ini kerajaan memberi peluang kepada lebih 20 agensi pinjaman membuat potongan gaji kepada penjawat awam yang melaksanakan pinjaman tanpa perlu merujuk antara satu sama lain (institusi pinjaman).

“Mereka (penjawat awam) boleh meminjam daripada mana-mana institusi kewangan dengan hanya membawa slip gaji mereka sebelum institusi pinjaman akan membuat potongan gaji setiap bulan,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...