Thursday, 25 May 2017

Terminal Pukal Lekir beroperasi selama 24 jam

Kesibukan sering berlaku di pintu masuk LBT yang membekalkan arang batu ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Manjung, Perak.

KESIBUKAN Terminal Pukal Lekir (LBT), satu-satunya pintu masuk bekalan arang batu ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung, Perak meningkat setiap kali kapal Panamax berlabuh.

Panamax membawa muatan arang batu berkapasiti 75,000 tan metrik.

Ada ketikanya, kapal bersaiz Capemax yang membawa muatan 140,000 tan metrik turut berlabuh di LBT.

Sebaik sampai, kerja memunggah 75,000 tan metrik arang batu import yang kebanyakannya dari Kalimantan perlu diselesaikan dalam tempoh 57 jam atau 2.37 hari.

Tempoh yang perlu bagi menyiapkan pemunggahan kapal Capemax yang bermuatan 140,000 tan metrik adalah 98 jam atau 4.08 hari.

Semuanya untuk memastikan bekalan arang batu ke stesen jana kuasa terbesar di Malaysia itu tidak tergendala bagi memenuhi keperluan empat loji tenaga iaitu Manjung 1, Manjung 2, Manjung 3 dan Manjung 4.

Sebanyak 80 peratus daripada pemilikan LBT dikuasai oleh Integrax Berhad yang menjadi anak syarikat milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun 2016. Baki 20 peratus dimiliki oleh Malakoff Berhad.

Pengarah Urusan Integrax Berhad, Mohammad Zahir Ismail berkata, pengendalian jeti sepanjang 2.7 kilometer itu perlu dilakukan dengan sempurna terutamanya bagi memastikan aktiviti melabuhkan kapal sentiasa dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Bekalan


“Semua peralatan termasuk kren yang memunggah arang batu keluar dari kapal dan conveyor line yang membawa arang batu ke loji tenaga perlu sentiasa dalam keadaan baik bagi memastikan bekalan yang dihantar tidak terputus,” katanya.

Sebanyak 10 juta tan metrik arang batu setahun diperlukan bagi keempat-empat loji tenaga di SJSAS dan ia dijangka bertambah kepada 13 juta tan metrik setahun apabila Manjung 5 beroperasi sepenuhnya pada Oktober ini.

SJSAS yang dimiliki oleh TNB Janamanjung Sdn. Bhd., (anak syarikat milik penuh TNB) kini menjana 3,100 megawatt (MW).

Tenaga elektrik itu disalurkan ke Grid Nasional dan boleh dimanfaatkan sehingga seramai enam juta pengguna.

Keupayaan terpasang (installed capacity) keseluruhan di SJSAS selepas siapnya projek Manjung 5 adalah 4,100 MW.

Beroperasi selama 24 jam, kerja mengangkut dan memunggah di LBT boleh dijalankan daripada dua buah kapal dengan serentak dalam tiga syif.

Setiap syif mempunyai sehingga 11 orang pekerja termasuk pengendali bilik kawalan, pengendali kren dan anggota sokongan.

“Buat masa ini, sebanyak 100 hingga 120 kapal berlabuh di LBT setiap tahun dan kami bekerja selama 24 jam sepanjang 365 hari.

“Bilangan kapal dijangka meningkat sehingga 150 buah apabila projek Manjung 5 siap sepenuhnya,” katanya.

Mohammad Zahir berkata, Integrax Berhad turut membantu pihak stesen bagi mengenal pasti isu utama dalam sistem penghantaran arang batu sedia ada.

Ia turut mengemukakan cadangan penambahbaikan dan pelaksanaan bagi memastikan tahap keboleharapan keseluruhan sistem sentiasa berada pada tahap yang tinggi supaya proses penghantaran arang batu ke stesen tidak terjejas.

Katanya, Integrax merancang untuk meningkatkan kapasiti LBT bagi meluaskan potensinya menarik lebih banyak bisnes berkaitan arang batu selari dengan langkah TNB menggiatkan aktiviti bisnes tidak dikawal selia (non-regulated) yang tidak tertakluk kepada tarif elektrik.

Peningkatan kapasiti itu membolehkan Integrax memberikan perkhidmatan serantau seperti terminal-terminal luar negara yang membekalkan arang batu di rantau masing-masing antaranya EMO Terminal, Rotterdam, Belanda dan Idemitsu, Jepun.

“Buat masa ini, kami juga pernah dan mampu mengendalikan kapal-kapal yang membawa barangan pukal terutamanya pemindahan antara kapal ke kapal lain,” katanya.

Selain LBT, Integrax juga memegang 50 peratus kepentingan dalam Lumut Maritime Terminal Sdn. Bhd. atau lebih dikenali sebagai Lumut Port.

Kedua-dua terminal itu berada pada kedudukan strategik untuk memberikan perkhidmatan di rantau Asia Tenggara hingga ke Asia Timur. – Bernama

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...