Tuesday, 2 May 2017

Trump akui Jong-un seorang yang bijak



WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Do­nald Trump (gambar) secara tidak langsung telah memuji pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un sebagai ‘kelihatan agak bijak’ pada satu program wawancara televisyen kelmarin.

Kata-kata pujian Trump muncul ketika ketegangan semakin meruncing dengan Korea Utara disebabkan siri ujian peluru berpandu dan nuklear yang menyebabkan Washington terpaksa me­minta bantuan China untuk mengekang Jong-un.

Trump turut menyatakan beliau ‘tidak pasti’ sama ada Jong-un seorang yang waras atau tidak, tetapi mengakui pemimpin Korea Utara itu berdepan cabaran hebat kerana mengambil alih kepimpinan negara pada usia 27 tahun selepas kematian bapanya pada tahun 2011.

“Beliau berurusan dengan orang-orang yang sukar khususnya jene­ral dan lain-lain. Pada usia begitu muda, beliau berjaya mengambil alih kuasa,” kata Trump dalam program wawancara Face the Nation oleh stesen televisyen CBS.

“Ramai orang yang saya pasti, cuba me­rampas kuasa itu, sama ada bapa saudaranya atau individu lain. Dan beliau mampu menanganinya.

“Jadi, beliau secara jelas adalah sejenis manusia yang bijak,” katanya.

Korea Utara berjaya membuatkan Barat me­nunggu selama beberapa minggu berhubung kemungkinan berlakunya ujian nuklear keenam selepas melakukan beberapa ujian misil yang menakutkan AS.

Washington bimbang rejim itu membangunkan peluru berpandu balistik dengan kepala peledak nuklear serta berupaya membedil sehingga ke tanah besar AS.

Korea Utara, yang tidak menghiraukan tekanan AS, mengadakan ujian pelancaran misil terbaharu pada Sabtu lalu. Korea Selatan mendakwa ujian itu gagal.

“Keadaan sekarang seperti permainan catur. Saya tidak mahu orang lain mengetahui apa yang saya fikirkan,” tambah beliau. – AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...