Wednesday, 6 September 2017

Penagih internet sanggup pakai lampin

Rutin latihan kawad dan perbarisan bertujuan mendisiplinkan pelatih.

“IBU bapa menipu saya. Saya berteriak dan menjerit: Saya mahu keluar! Saya tidak mahu tinggal di sini.

“Perbuatan itu tidak berguna. Tanpa menghiraukan saya mereka berlalu begitu sahaja,” ujar Xiong Chengzuo ketika mengenang detik dimasukkan ke sebuah sekolah pemulihan ketagihan internet di Huai’an, Timur China baru-baru ini.

Sebelum itu, Chengzuo, 16, ‘terpedaya’ dengan ajakan ibu bapanya untuk keluar makan bersama-sama. Sebaliknya, dia dihantar kira-kira 600 kilometer (km) dari rumahnya ke sebuah bangunan yang baginya kelihatan tidak ubah seperti penjara.

Seorang lagi yang mempunyai ketagihan yang teruk pada telefon pintar ialah Bing Jiaying, 18. Pada Mei lalu, dia dimasukkan ibunya ke sekolah tersebut. Sebelum itu, ibunya menyatakan ingin membawanya melawat saudara di sekolah tersebut.

“Saya benci awak! Itu yang saya katakan kepada ibu. Saya dimasukkan di sini secara paksa,” imbaunya.

Gadis itu mengakui, hampir setiap masa tangannya tidak lekang dengan iPhone 6 Plus. Dia akan berborak berjam-jam lamanya di laman sosial WeChat dan aplikasi QQ tanpa mengira siang atau malam.

Begitupun dia sedikit bimbang memikirkan kehidupan baharunya yang diibaratkan seperti tentera. Pendek kata, ia bukan sesuatu yang menggembirakan. Apatah lagi dia perlu melalui rutin tersebut selama setahun.

Kedatangan Chengzuo dan Jiaying disambut bekas Tentera Liberalisasi Rakyat, Xu Xiangyang. Lelaki berusia 57 tahun itu kini berjuang dalam misi yang disifatkannya sebagai menyelamatkan golongan muda daripada neraka maya.

Gangguan klinikal


Sejak tahun 2008, China menjadi negara pertama mengisytiharkan kecanduan internet sebagai gangguan klinikal. Awal tahun ini, China merekodkan 731 juta pengguna internet.

Jumlah itu meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2009. Dianggarkan terdapat 24 juta penagih internet di republik tersebut.

“Saya benar-benar menentang permainan dalam talian. Ia merosakkan kesihatan seseorang. Ia turut membuatkan seseorang itu bagai tidak mempunyai perkara yang lebih penting dalam hidup.

“Pada saya, mereka hanyut dalam dunia yang langsung tidak bermakna mahupun membawa erti positif terhadap keluarga dan insan di sekeliling mereka,” tuturnya.

Apabila Xiangyang membuka sekolah tersebut pada tahun 1997, penagih internet tidak begitu ramai. Menurut data rasmi, China ketika itu hanya mempunyai kira-kira 300,000 komputer dengan sekitar 620,000 mempunyai akses terhadap internet.

Sekolah yang menelan kos operasi 36,000 yuan setahun (RM23,280) itu mempunyai liputan Wi-Fi tetapi tiada kata laluan disediakan untuk pelajar.

April lalu, seorang remaja berusia 17 tahun dari Guangzhou dilaporkan mengalami strok selepas bermain permainan yang dipanggil League of Legends selama 40 jam tanpa henti.

Menyorot sebuah dokumentari yang dibuat tahun 2014, ketua sebuah kem pemulihan mendakwa penagih internet sanggup memakai lampin bagi menghalang mereka meninggalkan skrin komputer. Disebabkan itu, gejala tersebut dipanggil heroin elektronik.


Terapi

SESI pemulihan secara psikoterapi turut dijalankan secara berkumpulan.

Tidak jauh dari sekolah Xiangyang, terdapat sebuah kem yang menggunakan terapi elektrokonvulsif iaitu terapi arus elektrik untuk merawat ketagihan internet.

“Ia tidak boleh ditanggung. Ada ketikanya kami diminta menutup mata menggunakan kain dengan ketat,” dedah seorang pesakit berusia 22 tahun kepada laman web berita China, Sixth Tone baru-baru ini.

Begitupun, Xiangyang menegaskan, beliau menolak kaedah yang tidak rasional dan tidak berperikemanusiaan. Kurikulum yang disusunnya mempengaruhi penagih internet untuk berpijak di bumi nyata menerusi aktiviti seperti balet, muzik dan persembahan komedi.

Menjengah ke salah sebuah kelas di sekolah tersebut, puluhan warganya kelihatan ceria ketika dalam sesi pengajaran mendengar dan melagukan puisi klasik China.

Guru seninya, Zhang Yifan menjelaskan, tugas guru sekolah adalah menjaga dan mendidik pelajar-pelajarnya melihat keindahan dunia.

“Sesetengah ibu bapa menggunakan kaedah yang teruk, seperti bergaduh, memarahi dan memukul anak-anak mereka. Ia membuatkan anak menjadi lebih jauh dan berhati keras,” katanya.

Tidak jauh dari situ, kedengaran riuh rendah sorakan sekumpulan pelajar yang sedang mengikuti kelas renang di kolam yang terletak di belakang bangunan sekolah.

Selain itu, dengan semangat perajurit mengalir di dalam darahnya, Xiangyang turut melatih pelajarnya dengan disiplin kawad dan perbarisan.

Tiga kali setahun, penuntut sekolah itu dibawa dalam perjalanan merentasi kawasan pedalaman sejauh 300 kilometer dan singgah di desa Bafang yang permai selama sebulan sebelum kembali ke pangkalan.

Ketenteraan


SEORANG pelatih dipakaikan alat pengimbas elektroensefalogram untuk merakam aktiviti otak.

“Setiap hari, kami perlu berjalan sejauh 40 kilometer. Dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius, saya berasa seperti terbakar.

“Kadangkala kaki saya melepuh. Proses ini membuatkan saya berfikir apa yang telah saya lakukan selama ini. Lama-kelamaan saya menikmati rumah baharu ini. Ia tempat yang baik,” ujar seorang pelajar yang dikenali sebagai Jian.

Seperti Xiangyang, ahli psikiatri dari Pusat Rawatan Ketagihan Daxing, Tao Ran turut menggunakan elemen ketenteraan untuk mengatasi ketagihan.

“Ketagihan internet membawa kepada masalah di otak yang serupa dengan penggunaan heroin. Ia merosakkan tubuh dan memusnahkan hubungan tanpa disedari.

“Kesemua yang terlibat mempunyai masalah penglihatan, sakit belakang dan mengalami gangguan makan. Kami dapati kapasiti otak mereka berkurang sekitar lapan peratus,” jelasnya.

Menurutnya, pusat yang ditubuhkan pada 2013 itu menganggap seseorang yang menghabiskan masa selama enam jam atau lebih di internet, mengalami masalah ketagihan.

Beliau yang juga merupakan pesara Tentera Liberalisasi Rakyat berpangkat kolonel mendedahkan, 90 peratus pesakit yang dimasukkan ke situ mengalami kemurungan teruk sementara 57 peratus tergamak menyerang ibu bapa sendiri.

“Ini satu petanda buruk, saya khuatir trend ini akan meningkat,” tuturnya.

Rakan tenaga pengajarnya, Ma Liqiang berkata, golongan muda terbabit perlu belajar mengenal jati diri dan hidup mengikut peraturan. Mereka juga perlu belajar erti menghormati.

“Kebanyakan mereka sangat angkuh apabila mula-mula tiba di sini. Keupayaan fizikal dan stamina mereka teruk. Mereka akan termengah-mengah selepas berjoging beberapa langkah.

“Proses membentuk mereka mungkin sukar, tetapi ia tidak mustahil. Mereka masih mempunyai harapan. Hasilnya dapat dilihat dalam beberapa bulan,” ungkapnya optimis.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...