Sunday, 10 September 2017

Virtsim mantapkan kesiagaan anggota Tentera Darat


SUSUK tubuh lima anggota tentera itu bergerak perlahan-lahan secara taktikal sambil memegang raifal M4. Kelihatan salah seorang daripada mereka berjaga di bahagian belakang, manakala empat yang lain bergerak secara serentak menggeledah sebuah bangunan terbiar untuk mencari musuh.

Anggota tentera itu menyusup masuk dari satu tingkat ke tingkat dan menembak musuh satu persatu. Setelah beberapa ketika, kesemua musuh ditewaskan oleh mereka.

Menariknya, jika senario tersebut ditonton secara langsung, penonton hanya dapat melihat anggota tentera sahaja manakala bangunan dan musuh di lokasi berkenaan tidak kelihatan.

Situasi pertempuran itu sebenarnya tidak berlaku di alam realiti sebaliknya hanya dilakukan secara maya melalui paparan skrin pada peranti yang dikenali sebagai Head-Mounted Display (HMD).

Simulasi tempur itu merupakan sebahagian daripada Simulasi Latihan Maya (Virtsim) yang mula diguna pakai oleh Tentera Darat (TD) sejak dua bulan lalu.

Virtsim merupakan teknologi latihan pertempuran menggunakan simulasi arena realiti maya berbentuk tiga dimensi (3D).

Menerusi teknologi tersebut, anggota tentera boleh melaksanakan latihan pertempuran seolah-olah seperti berada dalam situasi pertempuran sebenar selepas pergerakan dan tubuh anggota diselaraskan dalam sistem maya mengikut pergerakan sebenar.

Teknologi itu yang dibangunkan oleh syarikat Motion Reality Inc. dari Georgia, Amerika Syarikat sebelum ini telah digunakan dalam pembikinan filem seperti The Lord of The Rings, Avatar dan The Avengers.

Sistem latihan pertempuran canggih itu memberi peluang kepada kru Jurnal untuk menyaksikan sendiri simulasi berkenaan di Pusat Simulasi Visual Tentera Darat yang terletak di Pusat Olah Perang Tentera Darat (POP TD) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pusat Simulasi Visual itu turut menempatkan ruang latihan dan pengendali, bilik pemerhati, bilik persiapan, tempat menunggu dan bilik ulang kaji.

Ruang latihan bersaiz 420 meter persegi dibina daripada satu set kekuda besar yang terdiri daripada 16 tiang teras.

Kit kekuda itu menempatkan 98 kamera menangkap pergerakan (motion capture) dengan diod pemancar cahaya (LED) yang disambung kepada stesen pengesan prestasi tinggi.

Kit tersebut juga menempatkan dua buah televisyen bertujuan untuk menayangkan aksi latihan kepada pemerhati, sementara ruang pengendali menempatkan peralatan komputer Virtsim.

Anggota Komando 21 GGK menunjukkan demo dalam latihan peperangan menggunakan Simulator Arena Realiti Maya 3D.

Pelbagai senario


Menurut Pengarah POP TD, Kolonel Abdul Razak Hussain, objektif utama Virtsim adalah untuk meningkatkan kecekapan dan ketangkasan bertempur anggota dalam aspek keupayaan menembak, ketangkasan bertindak balas sewaktu bertempur dan keupayaan mengatur gerak anggota.

“Virtsim berupaya melaksanakan latihan pertempuran antara pelatih dengan kecerdasan buatan (AI) atau antara pelatih dengan pelatih.

“Perancangan bagi penggunaan sistem ini adalah untuk melatih setiap anggota infantri dan Grup Gerak Khas (GGK) yang terlibat dalam operasi khas dan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia dilengkapkan dengan 48 senario pertempuran antaranya di kawasan padang pasir, lapangan terbang, dan kawasan yang mempunyai bangunan. Senario kawasan hutan, paya dan sungai masih dalam pembangunan oleh syarikat pembekal,” katanya kepada kru Jurnal baru-baru ini.

Tambahnya, Virtsim terbahagi kepada empat peringkat latihan iaitu persiapan, penyelarasan, latihan dan ulang kaji. Terdapat dua senjata yang dibekalkan semasa latihan simulasi iaitu raifal M4 dan pistol Sig Sauer P226.

Untuk setiap simulasi, seramai 12 orang anggota boleh dilatih pada satu-satu masa dan tahap latihan pula terdiri daripada tahap permulaan (beginner), pertengahan (intermediate), lanjutan (advanced) dan pakar (expert).

Antara manfaat sistem itu termasuklah keperluan ruang latihan yang kecil dan boleh digunakan dalam apa jua keadaan cuaca, mengolah senario pertempuran tanpa had berdasarkan objektif latihan, menukar senario dalam masa singkat selain sesi latihan boleh direkod dan diulang tayang dari semua sudut latihan bagi memudahkan perbincangan ulang kaji.

PUSAT Simulasi Visual terletak di Pusat Olah Perang Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.


Tahap kesiagaan


Sementara itu, Leftenan Jusman Muktar daripada 21 GGK yang telah menguji sistem tersebut berkata, menerusi latihan itu tahap kesiagaan anggota dapat ditingkatkan semasa operasi.

“Pelatih akan terkena sedikit renjatan elektrik dan sistem anggota akan dimatikan jika terkena tembakan.

“Selain itu, latihan ini menuntut kita untuk berkomunikasi dengan anggota lain bagi mencapai objektif dengan lebih efisien,” ujarnya.

Jelas Jusman, anggota harus lebih berhati-hati jika melawan AI di tahap pakar kerana musuh akan sentiasa menembak tepat ke arah anggota.

“Kita juga mengulang kaji dengan melihat semula taktikal anggota menerusi rakaman video untuk mengenal pasti kesilapan,” tambahnya.

Sebelum bermula latihan, Jusman turut menunjukkan cara-cara pemakaian sut latihan.

“Pertama, anggota akan memakai pin pengesan pergerakan di kedua-dua pergelangan kaki, lutut, lengan dan pergelangan tangan. Kemudian peranti renjatan elektrik akan dipakaikan pada lengan.

“Selepas itu, anggota akan memakai beg yang mengandungi sistem Virtsim dan HMD sebelum dibekalkan dengan senjata,” katanya.

Anggota kemudiannya akan dibawa untuk penyelarasan pergerakan. Latihan akan berjalan mengikut objektif dan selepas itu, anggota akan dibawa untuk melihat rakaman latihan bagi tujuan ulang kaji.

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...