Tuesday 19 September 2017

India tidak mahu etnik Rohingya

PELARIAN Rohingya dilihat di luar pondok mereka di sebuah kawasan setinggan di New Delhi kelmarin.

NEW DELHI – Kerajaan India memberitahu Mahkamah Agung semalam bahawa sebilangan imigran Islam Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar mendatangkan ancaman serius kepada negara berkenaan.

New Delhi merancang untuk mengusir sehingga 40,000 pelarian Rohingya di India.

Pegawai kanan kementerian dalam negeri, Mukesh Mittal berkata, Mahkamah Agung seharusnya membenarkan kerajaan membuat keputusan itu demi kepentingan orang ramai ekoran sebahagian daripada imigran Rohingya mempunyai rekod pelampau.

“Sebilangan imigran Rohingya ini mempunyai latar belakang militan dan amat aktif di Jammu, Delhi, Hyderabad dan Mewat sekali gus berisiko mengancam keselamatan negara,” kata Mukesh dalam satu kenyataan bertulis kepada mahkamah.

Kenyataan sama menyebut bahawa penduduk India yang beragama Buddha juga berisiko menjadi sasaran keganasan oleh imigran Rohingya.

Etnik Rohingya sebelum ini menafikan mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan militan.

Kenyataan Mukesh sebagai menjawab sebuah petisyen yang dikemukakan kepada Mahkamah Agung untuk mencabar keputusan kerajaan mengusir imigran Rohingya walaupun ramai antara mereka telah menetap di India sejak satu dekad lalu.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terdapat 16,000 pelarian Rohingya berdaftar di India namun, lebih ramai dipercayai tinggal di negara itu secara haram.

Kerajaan India menyatakan bahawa 40,000 imigran Rohingya berada di negara itu dengan kira-kira 7,000 daripada mereka tinggal di wilayah Jammu. – AFP

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...