Friday 29 September 2017

2016 lahirkan paling ramai jutawan



HONG KONG – Bilangan jutawan di seluruh dunia meningkat hampir 8 peratus tahun lalu sekali gus menjadi angka tertinggi sepanjang zaman membabitkan kira-kira 16.5 juta orang dengan kekayaan terkumpul mencecah AS$63.5 trilion (RM268.6 trilion), kata firma perunding global, Capgemini dalam satu laporan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Aset individu dengan kekayaan bersih tinggi (HNWI) yang didefinisikan oleh Capgemini sebagai mereka yang mempunyai aset boleh labur bernilai AS$1 juta (RM4.2 juta) atau lebih tinggi, menokok 8.2 peratus dalam 2016 dan dijangka melepasi angka AS$100 trilion (RM423 trilion) menjelang tahun 2025.

Menurut laporan tersebut, kira-kira 1.15 juta orang menjadi jutawan baharu pada tahun lalu.

Amerika Syarikat(AS), Jepun, Jerman dan China mencatat paling ramai jutawan dengan ketiga-tiga negara itu merangkumi hampir dua pertiga bilangan jutawan di dunia.

Di AS pula, bilangan jutawan bertambah daripada 4.46 juta kepada 4.8 juta orang, manakala jumlah jutawan di China meningkat kepada 1.13 juta berbanding kira-kira sejuta orang.

Rantau Asia-Pasifik, Eropah dan Amerika Utara menyumbang sama rata kepada peningkatan kekayaan itu dengan Rusia, Brazil serta Kanada mengubah trend penurunan bilangan jutawan yang berlaku setahun lalu, kata Capgemini.

Rusia yang dibantu pemulihan dalam pasaran sahamnya, menyaksikan bilangan jutawan di negara itu dan kekayaan mereka bertambah sebanyak 20 peratus.

Perancis mengatasi Britain dalam aspek bilangan jutawan pada kedudukan lima teratas, manakala Sweden mengambil alih tempat ke-25 daripada Singapura. – Reuters

No comments:

Post a Comment

Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...