PUTRAJAYA - Pendaftaran pemilih secara dalam talian atau melalui aplikasi media sosial adalah tidak dibenarkan dan tidak sah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah.
Sejak kebelakangan ini, katanya, terdapat pihak menyebarkan maklumat kononnya pendaftaran pemilih boleh dilakukan secara dalam talian atau melalui aplikasi media sosial dengan hanya menghantar gambar kad pengenalan MyKad mereka ke nombor talian telefon tertentu dan mereka akan didaftarkan segera sebagai pemilih.
"SPR ingin menegaskan bahawa kaedah itu adalah tidak dibenarkan dan tidak sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Hashim menegaskan, bahawa kaedah pendaftaran yang diguna pakai sekarang memerlukan individu itu hadir sendiri ke kaunter pendaftaran SPR atau mana-mana kaunter pejabat pos berkomputer atau melalui Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) yang dilantik oleh SPR.
Mereka perlu membawa bersama MyKad yang asal, mengisi Borang A dan menandatangani borang tersebut, katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...