ONTARIO, KANADA – Kajian terbaharu oleh pakar kesihatan di sebuah universiti dekat sini mendapati, aktiviti berkebun, mencuci lantai atau membersihkan dapur mampu menyelamatkan nyawa.
Laporan kajian dari McMaster University itu mendapati, melakukan kerja rumah lima kali seminggu selama setengah jam dapat mengurangkan risiko kematian sebanyak 28 peratus dan penyakit jantung sebanyak 20 peratus.
Lebih banyak kerja rumah yang dapat membantu individu untuk kekal aktif selama 750 minit seminggu juga didapati mengurangkan peluang untuk kematian awal hampir 40 peratus.
Hasil kajian tersebut diperoleh berdasarkan kajian terperinci aktiviti harian seramai 130,000 individu berusia 35 hingga 70 tahun dari 17 negara berbeza selama hampir tujuh tahun.
Kajian tersebut turut mendapati bahawa jika setiap individu melakukan aktiviti fizikal 150 minit setiap minggu kadar masalah kardiovaskular juga akan berkurangan hampir lima peratus.
Pakar yang mengetuai kajian tersebut, Dr. Scott Lear seperti dipetik Daily Mail berkata, laporan berkenaan akan menggalakkan orang ramai terutamanya golongan berpendapatan rendah untuk sentiasa kekal aktif walaupun mereka tidak mempunyai akses ke gim.
“Hasil kajian ini menekankan bahawa apa sahaja jenis aktiviti fizikal yang dilakukan secara rutin sama ada membersihkan rumah atau berjalan cepat untuk bekerja pada waktu pagi membantu kita kekal cergas dan sihat.
“Cara tersebut juga merupakan pendekatan kos rendah untuk mencegah penyakit kardiovaskular dan kajian kami menyediakan bukti kukuh untuk menyokong campur tangan badan kesihatan awam bagi meningkatkan semua bentuk aktiviti fizikal di rantau ini,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan orang dewasa berusia 18 hingga 64 tahun perlu melakukan senaman selama 150 minit setiap minggu di samping latihan kecergasan dua kali seminggu.
Tetapi anggaran menunjukkan bahawa hanya satu perempat penduduk di seluruh dunia memenuhi garis panduan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Baca Bismillah dulu, kemudian baru komen...